PELUMBA sensasi Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah menyatakan permohonan maaf kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berhubung isu yang tercetus di laman media sosial baru-baru ini.
Justeru, dia meminta orang ramai tidak berterusan mengkritik kementerian itu memandangkan luahan hatinya sebelum ini bukan ditujukan kepada KBS.
Kata Hafizh, status yang dimuat naik ke laman media sosial Instagram itu adalah berhubung isu yang tercetus antara dia dengan Jabatan Imigresen Malaysia.
“Saya ingin menjelaskan, status sebelum ini tidak ada kena mengena dengan KBS atau pihak lain. Apa yang saya tulis sebelum ini adalah disebabkan kesulitan dengan Jabatan Imigresen Malaysia untuk ke luar negara.
“Saya mohon maaf kepada KBS kerana menyebabkan netizen salah sangka kepada kementerian. Menteri dan pasukan KBS sudah banyak membantu saya sejak dahulu hingga sekarang,” katanya menerusi laman Instagram.
Sebelum ini, Hafizh menyuarakan kekecewaannya terhadap imigresen dan kerajaan selepas isterinya, Noor Suzana Abdul Manaf tidak dibenarkan berlepas ke Eropah untuk menemaninya.
Difahamkan situasi itu terjadi disebabkan sekatan pergerakan penuh yang dilaksanakan kerajaan bermula 1 Jun, sekali gus menyebabkan perjalanan ke luar negara dihadkan bagi membendung penularan Covid-19.
Pelumba berusia 27 tahun itu mengakui bimbang dengan keadaannya yang keseorangan di sana selepas pelumba Moto3, Jason Dupasquier meninggal dunia akibat insiden ngeri ketika sesi kelayakan Grand Prix (GP) Itali Sabtu lalu.