PETALING JAYA – Petron Malaysia telah bekerjasama dengan Yayasan MyKasih dalam program sumbangan PetronMyKasih Jom Derma yang memberi peluang kepada ahli pemegang kad Petron Miles (PMiles) menderma mata ganjaran mereka untuk membantu golongan yang memerlukan.
Ketua Dagangan Runcit dan Perniagaan Komersial Petron, Choong Kum Choy berkata, setiap mata ganjaran PMiles yang disumbangkan akan ditukar kepada nilai matawang dan diserahkan kepada Yayasan MyKasih.
Menurutnya, melalui Yayasan tersebut, keluarga B40 boleh membeli bahan makanan dan barang keperluan dari lebih 250 kedai runcit termasuk Mydin, Tesco, Giant, Econsave, The Store, Aeon, 99 Speedmart dan TF Value Mart.
Setiap 500 mata PMiles yang disumbangkan boleh ditukar menjadi RM5, sementara setiap 1,000 mata PMiles pula adalah bersamaan RM10.
Pelanggan boleh menyumbang RM5 dan RM10 secara berkali-kali melalui kaunter jualan di semua stesen minyak Petron.
“Bersama Yayasan MyKasih, kami menyediakan peluang kepada pelanggan untuk turut sama membantu mereka yang dalam kesusahan.
“Kad PMiles juga membolehkan ahli berkongsi mata ganjaran mereka,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.
Yayasan MyKasih adalah sebuah pertubuhan amal yang diluluskan oleh kerajaan.
Pelanggan Petron yang menderma melalui program ini akan diberikan resit.