PARIS – Pemain No. 1 dunia, Ashleigh Barty terpaksa ‘bermandi peluh’ untuk melangkah ke pusingan kedua Terbuka Perancis selepas menewaskan wakil Croatia, Bernarda Pera selepas aksi diheret ke set penentuan awal pagi semalam.
Pada saingan itu, Barty gagal mempamerkan aksi konsisten terutama pada set kedua sebelum berjaya mengesahkan kemenangan ke atas pemain No. 70 dunia itu dengan keputusan 6-4, 3-6, 6-2 dalam tempoh hampir dua jam.
Kata Barty, perasaannya cukup bercampur baur apabila turun ke Roland Garros buat pertama kali sejak menjuarai kategori perseorangan wanita pada edisi 2019 sebelum mengambil keputusan untuk tidak menyertai kejohanan bertaraf Grand Slam itu pada tahun lalu ekoran pandemik Covid-19.
“Ini adalah kali pertama saya beraksi di sini dan suasananya cukup berbeza kerana dunia yang kita lalui sekarang cukup berbeza berbanding dua tahun lalu. Gelanggang Philippe Chatrier juga sentiasa memberi tuah dan saya berharap untuk melangkah jauh pada kejohanan kali ini.
“Mengenai aksi menentang Pera, saya akui berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan meskipun ada memberi ruang buat dia bangkit pada babak kedua. Apa yang pasti, masih ada ruang serta kelemahan yang boleh saya perbaiki menjelang aksi berikutnya,” katanya.
Dalam perkembangan sama, pemain ranking No. 12 dunia yang juga juara Grand Slam sebanyak dua kali, Petra Kvitova mengambil keputusan untuk menarik diri daripada kejohanan Terbuka Perancis apabila mengalami kecederaan.
“Selepas berbincang dengan barisan kejurulatihan selain melakukan ujian imbasan MRI, saya mengambil keputusan untuk tidak meneruskan saingan dan harap sempat pulih untuk mengharungi Kejuaraan Wimbledon penghujung bulan nanti,” kata Kvitova. – AGENSI