PETALING JAYA – Kementerian Pertahanan akan melaksanakan proses vaksinasi kepada kakitangannya melalui konsep pandu lalu.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, sebagai permulaan, pemberian vaksin secara pandu lalu ini akan dilaksanakan di Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur membabitkan anggota dan ahli keluarga mereka.
Jelasnya, konsep itu kemudiannya akan diperluaskan ke kem lain di seluruh negara.
“Kita akan memulakan pemberian vaskin secara pandu lalu ini dalam waktu terdekat bermula di Kem Sungai Besi dan kita sasar sekitar 1,000 hingga 2,000 anggota dan keluarga dapat divaksin sehari.
“Jika konsep ini berjaya dilaksanakan kita akan buka kepada orang awam untuk menerima vaksin secara pandu lalu dan tempatnya kita akan tentukan nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Pelancaran Pembinaan Hospital Modular Covid-19 Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan, Kuala Lumpur.- K! ONLINE