MADRID – Gergasi Sepanyol, Real Madrid membuat kejutan apabila melantik semula bekas pengurusnya, Carlo Ancelotti dengan kontrak selama tiga tahun.
Ancelotti, 61, tidak perlu berfikir panjang untuk menerima tawaran tersebut dan sanggup melepaskan jawatannya bersama Everton ketika ini bagi menggantikan tugas
Zinedine Zidane yang memilih untuk mengundur diri daripada Real minggu lalu.
“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada ahli lembaga pengarah, barisan pemain dan semua penyokong Everton terhadap segala bantuan serta sokongan kepada saya selama berada di sini.
“Saya sangat menghormati Everton dan amat berharap kelab ini dapat mencapai peluang menarik yang sudahpun terhidang di hadapan mereka selepas ini.
“Saya menikmati setiap waktu bersama Everton tetapi saya percaya ini adalah saat paling sesuai untuk saya kembali bersama keluarga dalam keadaan sekarang,” kata Ancelotti.
Ia menyaksikan Ancelotti kembali ke pangkuan Real buat kali kedua selepas dilantik menggantikan Jose Mourinho pada 2013.
Pengendali dari Itali itu membuktikan kemampuannya dengan memenangi kejuaraan Liga Juara-Juara, Piala Super Eropah, Piala Kelab Dunia dan Piala Raja Sepanyol dalam tempoh dua tahun bersama Los Blancos dari 2013 hingga 2015.
Ancelotti kemudiannya berhijrah menyertai Bayern Munich dari 2016 hingga 2017, Napoli (2018-2019) sebelum bersama Everton sejak dua tahun lalu.
Difahamkan, pemilik Real, Florentino Perez merasakan Ancelotti mampu kembali menghadiahkan trofi buat pasukan itu selepas Zidane gagal melakukannya apabila sekadar meraih tempat kedua La Liga dan mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara musim lalu. –AGENSI