KLANG – Sebanyak 26 buah premis di daerah ini diarahkan tutup selepas didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak awal tahun ini.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK) Dr. Ahmad Fadzly Ahmad Tajuddin berkata, penutupan itu hasil pemeriksaan terhadap 2,519 premis termasuk perniagaan, perindustrian dan pembuatan.
Katanya, antara kesalahan SOP dilakukan termasuk gagal mematuhi waktu premis dan penyediaan kod QR aplikasi Mysejahtera serta buku pendaftaran kehadiran pelanggan.
“Pemeriksaan ini bagi mencegah dan mengawal penularan Covid-19 di daerah ini.
“Penutupan premis itu dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawal Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi Pasar Pagi di Jalan Selampit di sini.
Beliau turut menjelaskan pihaknya juga telah mengenakan sebanyak 186 sitaan, 16 kompaun dan 260 notis sepanjang tempoh tersebut.
Mengulas mengenai operasi tersebut, Ahmad Fazly berkata, sebanyak dua kompaun dikenakan masing-masing kepada penjual kuih dan peniaga restoran nasi ayam kerana berniaga di waktu tidak dibenarkan semasa tempoh PKP.
“Dua tindakan sitaan juga dilaksanakan mengikut Seksyen 46(1)d Akta Jalan Parit Bangunan 1974 meletakkan barang perniagaan di kaki lima premis menyebabkan halangan,” katanya. -K!ONLINE