fbpx

Tujuh SJR mobile ditubuhkan IPD Sepang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salah satu SJR mobile Balai Polis Cyberjaya bagi pemantauan dan penguatkuasaan PKP di daerah Sepang. FOTO: FB IPD Sepang

SEPANG – Sebanyak tujuh sekatan jalan raya (SJR) secara mobile ditubuhkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, bagi memperkuatkan pasukan dalam menguatkuasakan undang-undang selain mengekang kemasukan rentas daerah dan negeri susulan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh ketika ini.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, penubuhan tujuh SJR mobile itu adalah berdasarkan kepada jumlah balai polis yang berada di bawah daerah ini dan pasukan akan bergerak di lokasi dikehendaki.

“Dengan tertubuhnya tujuh SJR mobile dengan melibatkan keanggotaan seramai 28 orang ini, ia secara tidak langsung dapat membantu dari segi mengawal selia laluan terutamanya di laluan-laluan tikus yang dikenal pasti sekitar daerah ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, IPD Sepang juga mengambil pendekatan menambah satu SJR statik, menjadikan keseluruhan SJR statik di bawah daerah ini adalah sebanyak lapan.

“Penambahan satu SJR itu adalah di lokasi Pekan Salak ke Kota Seriemas dan kesemua SJR statik itu melibatkan kekuatan pegawai dan anggota seramai 116 orang,” katanya.

Terdahulu, IPD Sepang melaksanakan tujuh sekatan jalan raya (SJR) di sekitar daerah itu bagi mengekang penularan wabak Covid-19 termasuk melibatkan SJR di sempadan Negeri Sembilan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI