PASIR MAS – Tiga sekeluarga di bawah pengawasan (PUS) yang memakai gelang pink masing-masing dikompaun RM5,000 selepas mereka ditahan ketika menaiki sebuah kereta di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Mukim Bunut Susu di sini kelmarin.
Ketiga-tiga individu berusia 27 hingga 19 tahun termasuk dua beradik perempuan ditahan semasa mereka melalui salah satu sekatan jalan raya (SJR) di kawasan PKPD tersebut.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati ketiga-tiga individu itu sepatutnya sedang menjalani kuarantin.
“Kita telah mengeluarkan kompaun kepada ketiga-tiga individu itu di bawah Perkara 22 (b) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.
“Kita tidak akan berkompromi dengan individu atau kumpulan yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Nasaruddin memberitahu, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 40 tahun yang tular di media sosial apabila dia keluar dari rumah dengan memakai gelang pink.
Katanya, lelaki itu ditahan di rumahnya di Kampung Binjal, Kubang Terap Pasir di sini pada pukul 5.27 petang.