PETALING JAYA – Filem 18 Puasa Di Kampong Pisang membuktikan meskipun industri pawagam seperti hidup segan mati tak mahu disebabkan pandemik Covid-19, kutipan ‘box office’ adalah satu perkara yang tidak mustahil.
Selepas 7 minggu ditayangkan di saluran Astro First, filem arahan sutradara tersohor, Mamat Khalid itu berjaya meraih kutipan sebanyak RM5 juta.
Lebih manis lagi, francais Kampong Pisang terus ‘berdekah’ dengan satu lagi kejayaan daripada kesinambungan francais terbaru iaitu Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa yang berjaya mencatat kejayaan kutipan RM1 juta walaupun hanya dalam tempoh 4 hari ditayangkan.
Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, francais Kampong Pisang mempunyai tempat yang sangat istimewa di hati peminat.
“Alhamdulillah, francais tersebut mendapat sambutan hangat dan ia terbukti apabila filem 18 Puasa Di Kampong Pisang berjaya meraih kutipan RM5 juta dan filem Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa mencatat RM1juta dalam masa 4 hari ditayangkan.
“Terima kasih kepada pengarah Mamat Khalid, para pelakon dan produksi Enjit-Enjit Semut yang telah menghasilkan karya yang dilihat terus berjaya memenangi hati penonton,” katanya.
18 Puasa Di Kampong Pisang mengisahkan tentang sekumpulan penduduk Kampong Pisang masih melakukan kemungkaran di bulan Ramadan.
Ketika Barkoba menikmati makanan di siang hari dalam semak samun, tiba-tiba berlaku satu insiden. Dia telah didatangi si iblis dan membawa Barkoba kembali ke masa silam untuk mengimbau setiap tindak tanduk kesalahan yang dilakukan sepanjang hidupnya.
Barkoba mengabaikan zakat, menganaiyai orang lain, mengajak melakukan kemungkaran serta menyebabkan kecederaan dan kematian Kiambang.
18 Puasa Di Kampong Pisang dibintangi oleh Bell Ngasri, Namron, Jaafar Onn, Siti Elizad, Kazar Saisi, Mat London, Joey Daud dan ramai lagi yang kini masih ditayangkan di Astro First. – K! ONLINE