PETALING JAYA – Sukuk Wakalah Bank Pembangunan Malaysia Bhd. (BPMB) berjumlah RM1.25 bilion telah menerima sambutan positif daripada pelbagai kategori pelabur termasuk institusi kewangan, pengurus aset, dana persaraan dan syarikat insurans.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif BPMB, Arshad Mohamed Ismail berkata, pihaknya telah melepasi sasaran saiz pengeluaran awal berjumlah RM750 juta untuk mendaftarkan buku pesanan akhir berjumlah RM3.34 bilion.
Ia diterjemahkan kepada bidaan untuk dipenuhi (BTC) sebanyak 4.45 kali ganda (sebelum ditambah) dan 2.67 kali (selepas ditambah), membuktikan profil kredit BPMB yang kukuh serta peranan strategik yang dimainkannya dalam pembangunan negara.
Menurut beliau, pihaknya berbesar hati atas kepercayaan pasaran sehubungan kejayaan penerbitan kedua di bawah program Sukuk Wakalahnya.
“Kami akan terus bekerja keras dalam memandu pertumbuhan yang mampan untuk menyokong agenda pembinaan negara,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Ambank, CIMB, Maybank, dan RHB merupakan pengurus uama bersama dalam penawaran tersebut manakala CIMB Islamic serta Maybank Islamic bertindak sebagai penasihat syariah untuk transaksi berkenaan.