fbpx

Solatlah hanya kerana kita hamba Allah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video yang memaparkan seorang wanita mengaku tidak suka menunaikan solat yang tular di media sosial baru-baru ini.

Sepohon kayu daunnya rimbun, lebat bunganya serta buahnya, walaupun hidup seribu tahun kalau tak sembahyang apa gunanya?

Itu bait lirik nasyid yang sangat popular dan diketahui ramai sejak kecil. Namun, lirik menginsafkan itu mungkin sekadar siulan di bibir tanpa penghayatan.

Baru-baru ini tular video seorang wanita Islam bercakap dengan nada mempersenda solat.

Dengan dialek Melayu Pantai Timur, wanita yang dikatakan usahawan kosmetik itu memberitahu dia tidak suka sembahyang dan mempersoalkan orang lain yang menunaikan solat.

“Jangan nak tunjuk alimlah. Aku tak pernah sembahyang. Usahkan baca (surah) Yasin, sembahyang pun tidak, aku memang tak suka sembahyang, nak buat macam mana? Buat apa sembahyang? Orang tak sembahyang belaka tahun 2021. Awak seorang sahaja sembahyang, orang lain tak sembahyang,” katanya.

Apa yang dikhuatirkan, sesiapa sahaja boleh ‘termakan hasutan’ sebegini apatah lagi kala melihat kehidupan orang yang berkata-kata itu berjaya, kaya, hidup bahagia dan senang-lenang.

Mengapa sebenarnya kita solat? Jawapannya mudah, kerana kita hamba Allah dan solat lima waktu itu ialah rukun Islam kedua yang wajib kita tunaikan.

Sebagai hamba yang merasakan diri penuh kehambaan dan mengingati Tuhan, solat ialah perkara yang tidak perlu dipertikaikan tujuannya kerana sememangnya manusia dan jin dijadikan di muka bumi adalah untuk beribadah kepada-Nya.

Kita solat bukan untuk kaya, jadi hebat, takut kepada musibah apatah lagi tunjuk alim.

Allah berfirman dalam surah Taha ayat 14: “Sesungguhnya Akulah Allah, tiada tuhan melainkan Aku. Oleh itu, sembahlah Aku dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Aku.”

Didiklah hati untuk tunaikan solat dengan ikhlas semata-mata kerana kita hamba Allah yang mengingati-Nya tanpa mengharapkan ganjaran syurga atau terhindar daripada azab neraka sebagaimana wanita sufi tersohor, Rabiatul Adawiyah yang mahu ‘membakar syurga dengan api dan memadam neraka dengan air’.

“Aku hendak membakar syurga dengan api dan memadamkan neraka dengan air agar orang tidak lagi mengharapkan syurga dan takutkan neraka dalam beribadah,” katanya seperti yang dinukilkan dalam kitab-kitab tasawuf.

Rasulullah SAW bersabda: “Perkara pertama yang akan dihisab kepada setiap orang daripada sekalian amalnya ialah solat.

Jika baik solatnya, maka dia akan berjaya dan menang.

Jika tidak, maka dia akan rugi dan menyesal.” Sabda baginda lagi: “Yang membezakan antara mukmin dengan syirik dan kafir ialah solat.”

Usah juga berasa bangga dengan limpahan nikmat jika diri kita tidak solat. Dikhuatiri ia sejenis bentuk istidraj.

Istidraj adalah apabila Allah memberikan kejayaan, harta dan rezeki yang melimpah ruah untuk manusia itu menjadi lebih jauh daripada-Nya.

Moga kita terhindar daripada istidraj kerana tanpa Allah mendekat, kita tidak akan selamat seperti nasib Firaun dan Qarun di akhirat.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI