fbpx

Selangor peruntuk lebih RM200 juta beli vaksin Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amirudin menyampaikan bantuan keperluan kepada salah seorang penduduk yang dikenakan PKPD di Sabak Bernam.

SABAK BERNAM – Lebih RM200 juta akan diperuntukan dalam pembelian kira-kira 2 juta dos vaksin dalam memberikan manfaat kepada sejuta penerima di Selangor.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, peruntukan kewangan itu masing-masing melibatkan RM100 juta daripada kerajaan negeri dan selebihnya dalam RM120 juta lagi daripada Selgate Corporation dan Selangor Health Care (SelCare).

Katanya, perbincangan lanjut akan dijalankan bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba untuk proses penyampaian vaksin yang diusahakan kerajaan negeri.

“Pengumuman semalam bermakna tiada halangan kepada kerajaan negeri untuk beli dan kita akan mengaturkan pelarasan dengan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) supaya data dan maklumat mereka yang telah divaksin atau tidak untuk tujuan koordinasi.

“Pengumuman secara rasmi akan dilakukan saya pada Selasa depan dalam menerangkan perkembangan terkini urusan pembelian vaksin serta pakej bantuan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, ” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kebenaran diberikan kerajaan Persekutuan dalam pembelian vaksin oleh kerajaan negeri dengan syarat vaksin yang ingin dibeli mesti berdaftar dengan Bahagian Kawal Selia Farmasi Negara (NPRA).

Amirudin turut memberitahu, kerajaan negeri sebenarnya ingin memfokuskan kepada petugas barisan hadapan sektor ekonomi agar ekonomi dapat berjalan dengan lancar dalam masa sama mampu mengawal penyakit.

“Kita telah kemukakan rancangan dan cadangan kita tetapi sekiranya CITF mahu kita mempercepatkan pemberian vaksin untuk fasa kedua (warga emas dan kumpulan berisiko) kita akan bantu fasa tersebut. Ini adalah berdasarkan perbincangan di antara CITF dan kerajaan negeri,” katanya.

Mengulas lawatan di tiga taman yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) iaitu Taman Pertama, Taman Serendah dan Taman Prima di sini, Amirudin menjelaskan setakat ini kesemua 2,900 penduduk di tiga kawasan telah menjalani saringan dan hanya tinggal 150 individu belum menerima keputusan.

“Manakala 152 individu disahkan positif dan seorang meninggal dunia. Berdasarkan rekod juga terdapat 70 petugas kesihatan yang tinggal di lokaliti ini dan tugasan mereka dihadkan untuk lokaliti ini sahaja.

“PKPD ini telah berjaya mengesan individu yang positif lebih awal sekali gus dapat mengawal Covid-19 daripada merebak dan mungkin akan tamat lebih awal namun akan dibincangkan terlebih dahulu,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI