SINGAPURA – Seorang remaja mengaku menghantar ugutan bunuh kepada pemain bola sepak Liga Perdana Inggeris, Neal Maupay kerana tidak berpuas hati dengan keputusan satu perlawanan bola baru-baru ini.
Derek Ng De Ren, 19, menghantar mesej tersebut kepada kelab Brighton & Hove Albion tahun lalu.
Dia berbuat demikian kerana berasa marah selepas menonton perlawanan bola antara Brighton dan Arsenal pada Jun tahun lalu yang menyaksikan penjaga gol Arsenal Bernd Leno disingkirkan pada babak pertama perlawanan selepas bertembung dengan Maupay.
Penyerang Perancis itu kemudian menjaringkan gol dalam kemenangan penting buat Brighton.
Ng De Ren yang menyalahkan Maupay atas kecederaan Leno dan kekalahan Arsenal kemudian menghantar beberapa mesej ugutan bunuh kepada Maupay menerusi akaun Instagram pemain itu.
“Awak fikir awak boleh melarikan diri selepas mencederakan Leno? Tidak. Tapi jangan risau kerana awak akan selamat dan tidak akan diapa-apakan.
“Lebih seronok melihat awak berasa sakit apabila melihat orang yang awak sayang terseksa,” tulisnya yang turut mengugut untuk membunuh Maupay dan ahli keluarganya.
Pendakwa, Jeremy Bin berkata, dengan menggunakan akaun tanpa nama dan tidak mendedahkan lokasinya, Ng De Ren boleh ‘menyebabkan bahaya’ kepada Maupay.
“Mangsa benar-benar percaya bahawa ancaman itu adalah benar dan menganggap suspek mungkin berada dekat dengannya sehingga memaksa Maupay menempatkan keluarganya jauh dari kediaman mereka,” kata Bin.
Ng De Ren mengaku salah terhadap dua tuduhan gangguan dan dua lagi tuduhan sama akan dipertimbangkan ketika hukuman dijatuhkan.
Dia yang akan dijatuhi hukuman bulan depan berdepan hukuman penjara sehingga enam bulan dan juga sejumlah denda yang akan ditetapkan kelak. -AFP