fbpx

Penerbangan tentera dekat Malaysia latihan rutin – China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBUAH pesawat Ilyushin II-76 milik tentera udara China berada di ruang udara maritim Malaysia dekat negeri Sarawak pada 31 Mei lalu. - AFP

BEIJING – China menyatakan hari ini bahawa penerbangan 16 pesawat tentera melintasi perairan tuntutan bertindih di luar pantai Malaysia adalah  latihan rutin selepas negara Asia Tenggara itu menuduh Beijing menceroboh kedaulatannya. 

Malaysia mengerahkan skuadron jet  pejuangnya untuk memintas pesawat-pesawat pengangkutan tentera udara China itu yang berada dekat Pulau Borneo di Laut China Selatan.

Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri  Hishammuddin Tun Hussein mengkritik penerbangan itu sebagai pencerobohan dan berkata, kerajaan negaranya  akan menghantar bantahan kepada Beijing di samping memanggil duta China.

Bagaimanapun, seorang jurucakap Kedutaan China di Kuala Lumpur berkata, ‘aktiviti itu adalah penerbangan latihan rutin tentera udara China dan tidak menyasarkan mana-mana negara.’

“Menurut undang-undang antarabangsa, pesawat tentera China memiliki kebebasan untuk terbang di ruang udara antarabangsa tersebut.

“Pesawat-pesawat itu tidak memasuki ruang udara milik mana-mana negara,” kata jurucakap tersebut dalam satu kenyataan.

Kumpulan pesawat itu terbang 110 kilometer di luar wilayah Malaysia di Borneo dan tidak menjawab cubaan untuk menghubungi mereka sekali gus mendorong Malaysia menghantar jet pejuangnya.

Semua pesawat China itu berpatah balik sebelum memasuki ruang udara Malaysia.

Bagaimanapun,  Hishammuddin berkata, pesawat-pesawat China itu telah memasuki zon maritim Malaysia dan menyifatkan insiden tersebut sebagai pencerobohan ke atas ruang udara dan kedaulatan negara.

China menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan dan membina pos tentera di sebilangan pulau kecil dan terumbu karang di zon maritim berkenaan.

Hubungan Malaysia-China kebiasaannya baik tetapi insiden kelmarin berlaku ketika ketegangan di Laut China Selatan semakin meruncing.

Selain Malaysia dan China laut itu turut dituntut oleh Vietnam, Filipina, Brunei dan Taiwan. – AFP 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI