fbpx

Pemeriksaan rapi faktor Plaza Tol Jalan Duta sesak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video memaparkan Plaza Tol Jalan Duta sesak teruk, kelmarin.

PETALING JAYA – Pemeriksaan rapi yang dilakukan oleh polis merupakan antara faktor yang menyebabkan berlakunya kesesakan jalan raya yang teruk di Plaza Tol Jalan Duta sepertimana yang tular, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, hasil semakan mendapati kesesakan itu berlaku antara pukul 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang, kelmarin.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu, kira-kira 4,536 kenderaan telah diperiksa oleh petugas JSPT.

“Punca utama kesesakan adalah kerana pemeriksaan rapi yang telah dilakukan oleh pihak polis bagi memastikan orang awam mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Kesesakan tersebut juga disebabkan oleh orang ramai yang keluar membuat pelbagai urusan penting sebelum bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh yang bermula semalam,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, hasil pemeriksaan secara menyeluruh juga mendapati kenderaan-kenderaan tersebut mempunyai surat kebenaran merentas negeri daripada pihak berkuasa.

“Justeru itu, JSPT Kuala Lumpur akan terus membuat pemeriksaan secara terperinci bagi memastikan tiada pelanggaran SOP PKP 3.0 dilakukan,” ujarnya.

Terdahulu, tular satu video berkenaan kesesakan jalan raya di Plaza Tol Jalan Duta sehingga tiga kilometer yang didakwa berpunca daripada orang ramai yang dalam perjalanan pulang ke kampung. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI