PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengumumkan pertukaran empat pegawai kanannya yang akan berkuat kuasa serta merta bermula 1 Julai depan.
Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) Bukit Aman, Superintendan Skandaguru Anandan berkata, antara yang terlibat dalam pertukaran tersebut adalah Timbalan Ketua Staf Operasi Darat, Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Asisten Komisioner R V Shivananthan.
“Beliau akan ditukarkan ke Bahagian Pentadbiran, Jabatan Pengurusan Bukit Aman sebagai Penolong Pengarah Pengurusan (Keselamatan/Sukan/Rekreasi).
“Tempat beliau akan digantikan oleh Superintendan Pengajian, Pencegahan Keganasan, Pusat Pengajian Sains Pengurusan Krisis dan Bencana, Maktab PDRM Kuala Lumpur, Superintendan S Balasundaram dengan memangku pangkat Asisten Komisioner,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas beliau, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi/Risikan) Sarawak, Asisten Komisioner Zulfikar Mohd. Ghazali pula akan bertukar sebagai Komander di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Lima, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Kuching, Sarawak.
“Manakala penyandang jawatan itu, Asisten Komisioner Shamsul Kassim pula akan berpindah ke Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Batu Uban, Pulau Pinang dengan memegang jawatan yang sama sebagai Komander,” ujarnya. – K! ONLINE