MADRID – Penjaga gol Atletico Madrid, Jan Oblak mengakui bahawa dia tidak begitu teruja untuk meninggalkan Atletico Madrid biarpun namanya dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United dan Paris Saint-Germain.
Bagaimanapun, dia tidak mampu menjamin masa depannya bersama kelab itu kerana pihak pengurusan mungkin membuat keputusan sebaliknya kerana beberapa faktor terutama untuk mendapatkan sumber kewangan.
Pemain berusia 28 tahun itu memiliki baki kontrak selama dua musim lagi menyebabkan dia tidak begitu terdesak untuk mengadakan rundingan mengenai kontrak baharu.
“Saya tidak dapat melihat mengenai masa depan saya. Ia bergantung kepada banyak faktor, bukan diri saya semata-mata.
“Kelab mungkin terpaksa menjual pemain kerana faktor kewangan atau atas pelbagai desakan lain,” katanya.
Oblak menyertai Atletico sejak 2014 dan telah membuat 303 penampilan dengan membantu pasukan itu meraih kejuaraan Liga Europa serta gelaran La Liga musim ini.
Dia mengakui masih lagi gembira untuk kekal di Atletico dan tawaran lumayan bukanlah faktor utama yang akan membuatkannya meninggalkan pasukan itu.
“Saya tidak tahu apa yang perlu diperkatakan mengenai masa depan saya. Saya berada di sini sejak tujuh tahun lalu dan masih berbaki dua tahun kontrak serta bersedia untuk kekal,” jelasnya. – AGENSI