BENTONG – Penularan berita mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang akan dilaksanakan di seluruh daerah ini adalah palsu.
Pegawai Daerah Bentong, Datuk Mohd. Zulkifli Hashim berkata, dakwaan yang tular dalam media sosial berkenaan adalah tidak benar sama sekali dan laporan polis telah dibuat.
“Melihat kepada tarikh yang tular bermula 1 Jun pun sudah tidak betul, jadi saya menafikan perkara ini (pelaksanaan PKPD di seluruh Bentong).
“Saya meminta penduduk di daerah ini supaya tidak percaya kepada berita-berita tular yang tiada pengesahan serta tidak menyebarkannya kepada orang lain,”katanya di sini, hari ini.
Sejak kelmarin tular dalam media sosial mengenai pelaksanaan PKPD di seluruh daerah Bentong bermula 1 Jun hingga 14 Jun depan yang menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk di daerah ini.
Menurut Mohd. Zulkifli, pada masa ini PKPD di daerah ini hanya dilaksanakan di Kampung Baru bermula 30 Mei hingga 12 Jun depan yang melibatkan kira-kira 800 orang penduduk.
Sementara itu Ketua Polis Daerah, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, pihak polis masih melakukan siasatan termasuklah mengesan individu bertanggungjawab menyebarkan berita palsu berkenaan.
“Saya mengesahkan kita menerima laporan daripada seorang pegawai Majlis Keselamatan Negeri (MKN) pada pukul 1 pagi tadi dan siasatan dilakukan,”ujarnya.