PORT DICSKON – Ada lagi individu yang masih berdegil dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan 14 kompaun dikeluarkan pihak polis di sekitar Port Dickson pada hari pertama ‘total lockdown’ atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 semalam.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitenden Aidi Sham Mohamed berkata, kompaun yang dikeluarkan termasuk atas kesalahan gagal memakai pelitup muka di tempat awam, tidak membuat imbasan kod MySejahtera serta merentas daerah tanpa surat kebenaran yang sah.
“Dalam masa satu hari sahaja ada 14 individu dikompaun di Port Dickson dan ini satu peningkatan mendadak dengan orang ramai masih melanggar SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Kesalahan yang paling ketara adalah tidak memakai pelitup muka dengan alasan diberikan termasuk terlupa dan sebagainya sedangkan PKP fasa pertama telah dilaksanakan sejak setahun lalu bermula 18 Mac 2020 tetapi ada segelintir pihak yang masih mengambil sikap sambil lewa,” katanya pada sidang akhbar selepas melakukan pemeriksaan dan pemantauan kepatuhan SOP di Pasar Raya TF Value Mart di sini hari ini.
Jelas Aidi Sham, kesemua 14 individu tersebut telah dikompaun sebanyak RM1,500 seorang dalam operasi yang dijalankan oleh Pasukan Pematuhan SOP PKP Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson.
Dalam pada itu, Aidi Sham menegaskan supaya masyarakat tidak menjadikan kawasan di pantai Port Dickson sebagai tempat bersantai sepanjang fasa PKP.
“Kita masih melakukan pemantauan secara berterusan di kawasan pantai di mana dalam tempoh 10 hari lalu bermula 21 hingga 31 Mei lalu sebanyak 75 kompaun telah dikeluarkan di seluruh Port Dickson dengan 14 kompaun di kawasan pantai atas pelbagai kesalahan SOP.
“Kebanyakan kesalahan di pantai adalah tidak memakai pelitup, ada yang bersantai dan berdua-duaan, malah pemeriksaan juga mendapati ada individu yang datang ke pantai Port Dickson dengan melakukan kesalahan rentas daerah serta rentas negeri,” katanya yang memberitahu tindakan tegas diambil terhadap mereka.
Beliau berkata, kompaun dikeluarkan mengikut Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan (No 4) (Pindaan) (No 16) 2021.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak keluar rumah kecuali atas urusan penting atau kecemasan dan hanya membeli barang keperluan di kedai serta pasar raya berhampiran dalam radius 10 kilometer dari tempat kediaman.
“Diingatkan juga kepada individu yang keluar bekerja adalah bagi sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang dibenarkan beroperasi oleh MKN dan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya lagi. – K! ONLINE