BANDAR RAYA MEXICO – Sebuah lubang besar menjadi semakin luas pada setiap hari sekali gus mencemaskan penduduk sebuah kawasan pedalaman di tengah Mexico di mana tanah jerlus itu berisiko ‘menelan sebuah rumah’.
Apabila keluarga Heriberto Sanchez mendengar dentuman kuat pada Sabtu lalu mereka pada mulanya menyangka ia bunyi guruh.
Bagaimanapun, keluarga tersebut kemudian mendapati tanah pada jarak beberapa meter dari rumah mereka telah runtuh. Kejadian berlaku di sebuah padang di Santa Maria Zacatepec, negeri Puebla.
Lubang itu yang dipenuhi air, mempunyai lebar kira-kira 30 meter menjelang Ahad lalu.
Lebarnya membesar kepada 60 meter kelmarin dan sekitar 80 meter semalam, kata pihak berkuasa. Tanah jerlus itu semakin menghampiri rumah keluarga Sanchez. Lelaki itu berkata, dia bimbang mereka akan hilang tempat tinggal.
“Kami tidak mempunyai harta lain. Kami bukan berasal dari sini. Kami tiada saudara-mara. Kami tinggal bersendirian,” kata Sanchez yang berasal dari negeri Veracruz kepada media tempatan. – AFP