ALOR SETAR – Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) menyalurkan sumbangan peralatan perubatan bernilai RM81,000 kepada Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini sebagai inisiatif membantu barisan hadapan itu dalam usaha mengekang penularan Covid-19.
Komunikasi Korporat Kumpulan BDB dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, pihaknya menyumbangkan sebanyak 10 buah infusion pump dan 10 syringe pump yang mana ia merupakan peralatan amat diperlukan di unit rawatan rapi (ICU) HSB pada ketika ini.
“Kumpulan BDB memandang serius situasi semasa pandemik Covid-19 di Kedah dan syarikat terpanggil untuk turut serta membantu meringankan beban petugas barisan hadapan yang merawat dan menyelamatkan nyawa rakyat di negeri ini.
“Ini merupakan antara inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kumpulan BDB bagi membantu petugas barisan hadapan dan diharapkan sumbangan peralatan perubatan ini dapat membantu meringankan beban pihak hospital,” katanya.
Sumbangan peralatan perubatan berkenaan diserahkan kepada Pengarah HSB, Dr. Zaiton Udin. – K! ONLINE