PUTRAJAYA – Kematian di luar hospital (brought-in-dead) (BID) menunjukkan angka peningkatan dan semakin membimbangkan berikutan lebih banyak kes melibatkan golongan belia berusia 25 hingga 40 tahun dikesan tahun ini berbanding tahun lalu.
Sekurang-kurangnya 31 kematian BID daripada keseluruhan 267 kes tahun ini iaitu setakat 31 Mei lalu membabitkan pesakit muda dengan pelbagai latar belakang penyakit seperti obesiti, kencing manis, darah tinggi, buah pinggang kronik, gout dan asma.
Lebih membimbangkan, hampir separuh daripada jumlah itu melibatkan mangsa tanpa sejarah penyakit dan disahkan meninggal akibat Covid-19.
Kematian termuda melibatkan pesakit berusia 17 tahun (lelaki bukan warganegara) dan 27 tahun (perempuan warganegara).
Dua kematian itu dilaporkan di Johor dan Kuala Lumpur pada 18 Februari dan 28 Mei lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba tidak menafikan lebih banyak kematian BID melibatkan pesakit muda dikesan tahun ini berbanding tahun lalu sewaktu negara mula dilanda pandemik.
“Tahun lalu, kebanyakan kes kematian BID membabitkan golongan warga emas berusia 50 tahun ke atas yang dikategorikan sebagai berisiko kerana mempunyai sejarah komorbid seperti darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang kronik.
“Namun pada tahun ini, kita dapati ada peningkatan kes-kes BID melibatkan pesakit muda bawah 40 tahun dengan sebahagiannya tiada sejarah penyakit kronik dan ini sangat membimbangkan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di pejabatnya di sini baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Dr. Adham berkata, kebanyakan pesakit muda tidak menyedari mereka sudah dijangkiti Covid-19 kerana tidak bergejala sedangkan paras oksigen dalam badan semakin rendah berikutan kegagalan paru-paru berfungsi dengan baik.
Beliau berkata, keadaan itu dipanggil happy hypoxic yang mana pesakit Covid-19 tidak menunjukkan gejala sukar bernafas dan berasa normal walaupun tahap oksigen dalam badan berkurangan.
“Orang muda ini selalunya dia anggap perkara biasa kalau rasa sedikit penat lebih-lebih lagi jika mereka tidak tahu sudah dijangkiti Covid-19.
“Justeru, happy hypoxia boleh menjadi pembunuh senyap kerana apabila masalah kekurangan oksigen tidak dapat dikesan serta dirawat lebih awal, pesakit Covid-19 boleh meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital,” jelasnya.
Sehubungan itu, Dr. Adham berkata, pesakit Covid-19 yang dikuarantin di rumah digalakkan memantau tahap oksigen masing-masing menggunakan alat khas yang boleh dibeli di farmasi dan segera ke hospital jika tahap bacaan oksigen kurang daripada 95 peratus.
Memperincikan mengenai situasi kematian BID, Dr. Adham berkata, negara merekodkan 402 kes BID setakat ini dengan 267 daripadanya setakat 31 Mei lalu, manakala baki 135 direkodkan tahun lalu.
“Kes kematian BID yang mempunyai penyakit adalah sebanyak 267 kes, tidak berpenyakit (103 kes) dan tiada maklumat (32 kes).
“Kematian tertinggi dicatatkan pada bulan Mei iaitu sebanyak 122 kes BID atau 9.37 peratus daripada 1,144 kematian sepanjang tahun ini,” katanya.