KOTA BHARU – Kawalan sempadan di Kelantan akan diperketat bagi mengelak kemasukan lembu seludup dari negara jiran susulan penularan penyakit kulit kental atau lumpy skin disease (LSD) di negara ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Tuan Mohd. Saripudin Tuan Ismail berkata, sehubungan itu, lembu dan kerbau di kawasan yang bersempadan dengan Thailand juga akan diperiksa dengan rapi.
Katanya, pemeriksaan itu akan dibuat Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kelantan dengan kerjasama Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) melibatkan lembu dan kerbau di sekitar Tumpat, Pasir Mas dan Tanah Merah.
“Langkah awal ini penting dalam mencegah kemasukan penyakit LSD ke negara ini berikutan Kelantan dan Thailand hanya dipisahkan oleh Sungai Golok. Setakat ini, penyakit itu belum dikesan di Kelantan.
“Bagaimanapun, kita bimbang jika ada lembu seludup yang menjadi pembawa kepada jangkitan berkenaan memandangkan haiwan itu tidak melalui pemeriksaan ketat selain tidak dikuarantin,” katanya kepada pemberita hari ini.
Sebelum ini, Maqis dilaporkan mengesan 42 ekor lembu import dari Thailand dijangkiti penyakit LSD itu ketika dikuarantin di stesen kuarantin berdaftar di Bukit Kayu Hitam, Kedah baru-baru ini.
Selain itu, lembu-lembu di Bagan Serai, Perak juga dikesan mengalami penyakit itu.
Mengulas lanjut, Tuan Mohd. Saripudin berkata, kerajaan negeri sudah memohon bantuan pasukan keselamatan untuk memperketatkan lagi kawalan dalam usaha mengekang kemasukan lembu seludup melalui pengkalan haram di sepanjang Sungai Golok.
Ujarnya, haiwan yang dijangkiti LSD boleh dilihat pada kesan bonjolan pada kulitnya selain pengambilan sampel darah untuk pengesahan lanjut. – K! ONLINE