JAKARTA – Indonesia menamatkan usaha untuk mengapungkan sebuah kapal selam tentera di luar pantai Bali yang meragut nyawa semua 53 krunya, kata tentera laut hari ini.
KRI Nanggala 402 hilang pada April lalu semasa dijadualkan mengambil bahagian dalam latihan tembakan torpedo sekali gus mencetuskan usaha menyelamat antarabangsa.
Usaha menyelamat kemudian menemui kapal selam buatan Jerman itu berada di dasar laut pada kedalaman lebih 800 meter dan dalam keadaan berkecai . Situasi itu mengesahkan tiada harapan untuk menemui mangsa terselamat.
Beberapa kapal China kemudian dihantar untuk membantu usaha mengapungkan kapal itu.
Bagaimanapun, tentera Indonesia menyatakan hari ini bahawa pihaknya menamatkan operasi tersebut selepas mengadakan pertemuan dengan pegawai-pegawai tentera laut China.
Dalam satu kenyataan ringkas Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Laut menyifatkan operasi mengapungkan KRI Nanggala 402 ‘bukan tugas mudah’ dan ‘amat berisiko’ tanpa mengulas lanjut.
Jurucakapnya, Julius Widjojono kemudian berkata, sebab utama operasi itu ditamatkan adalah pasukan pencari belum menemui bahagian badan kapal selam bertekanan di mana mayat kru KRI Nanggala dipercayai berada.
“Matlamat utama operasi mengapungkan kapal ini adalah untuk menemui badan kapal bertekanan,” katanya.
Dalam pada itu, masih tidak jelas bila atau sama ada laporan punca kemalangan kapal selam berusia beberapa dekad itu akan didedahkan kepada umum.
KRI Nanggala 402 diserahkan kepada Indonesia pada tahun 1981. – AFP
.