SEBERANG PERAI – Dua wanita di Kepala Batas dan Mak Mandin di sini mengalami kerugian RM22,800 dipercayai akibat diperdaya Macau Scam dalam kejadian berasingan semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa yang bekerja sebagai kerani berusia 55 tahun mendakwa mengalami kerugian RM17,800 dan seorang guru berusia 50 tahun kerugian RM5,000.
Beliau berkata, bagi kes membabitkan kerani, mangsa menerima panggilan dua individu yang menyamar sebagai wakil syarikat Telekom Malaysia dan pegawai polis yang memaklumkan bahawa nama mangsa m telah digunakan bagi pendaftaran Internet secara tidak sah.
“Panggilan kemudian disambungkan kepada pihak polis kononnya di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Seremban yang kemudiannya memberitahu mangsa ada terlibat dengan kes penipuan wang haram dan akaunnya digunakan untuk menyimpan wang berkenaan.
“Mangsa yang ketakutan kemudiannya memasukkan RM17,800 ke dalam akaun bank yang diberikan untuk membersihkan namanya daripada rekod polis,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut Noorzainy, bagi kes kedua, mangsa turut mendakwa menerima panggilan daripada pihak sama yang memaklumkan dia terlibat dengan sindiket judi dalam talian menerusi akaun telefonnya.
“Mangsa yang panik memberikan maklumat akaun Bank Islam dan bertindak memindahkan RM5,000 daripada Tabung Haji ke akaun terbabit untuk diserahkan kepada polis bagi siasatan lanjut,” katanya. – K! ONLINE