PUTATAN – Empat termasuk tiga beradik ditemui lemas selepas mandi di Pantai Gorongon berhampiran Kampung Contoh, Putatan petang semalam.
Mangsa pertama Norain Amit, 13, ditemui pada pukul 8.20 malam sebelum mangsa kedua, Rafidah Amit, 14, berjaya dinaikkan kira-kira 40 minit selepas itu.
Dua lagi mangsa, Galang Naim,17, dan Korais Amit, 8, ditemui kira-kira pukul 9.30 malam di lokasi tidak jauh dari tempat mereka dihanyutkan.
Semua mangsa berjaya ditemui pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, keempat-empat mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Semua mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk tindakan lanjut.
“Siasatan akan terus dijalankan bagi mencari punca sebenar kejadian dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),”katanya ketika dihubungi hari ini.-K! ONLINE