KOTA BHARU – Dua Pasar Segar Terkawal (PST) dibuka di negeri ini bagi memberi ruang kepada usahawan tani memasarkan produk masing-masing ketika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh.
Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kelantan, Wan Nora Wan Ahmad berkata, salah satu PST tersebut dibuka di tapak Pasar Tani Kekal Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong di sini dan sebuah lagi PST akan dibuka di Pusat Operasi FAMA Machang.
“PST di RTC Tunjong setakat ini menempatkan seramai 250 peniaga manakala PST Pusat Operasi FAMA Machang pula dikendalikan empat kakitangan bagi membantu memasarkan produk usahawan tani.
“Bilangan pengunjung pula dihadkan dan tempoh masa yang dibenarkan pula antara 30 hingga 60 minit. Kanak-kanak 12 tahun ke bawah dan individu 70 tahun ke atas tidak dibenarkan masuk ke PST ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Nora berkata, PST di RTC Tunjong dibuka bermula pukul 7 pagi sehingga 2 petang manakala PST Pusat Operasi FAMA Machang dibuka pada pukul 8 pagi hingga 1 petang.-K! ONLINE