KUALA LUMPUR – Prosiding perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.28 bilion syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sepatutnya berjalan semalam ditangguhkan pada 21 Jun ini.
Timbalan Pendakwa Raya, Akram Gharib ketika dihubungi berkata, perbicaraan itu yang pada asalnya disambung semalam, ditangguhkan ekoran sekatan pergerakan penuh (lockdown) selama 14 hari.
“Memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh sampai 14 Jun, jadi kita akan sambung pada 21 Jun ini,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengarahkan pengendalian kes-kes antaranya semua perbicaraan dan pendengaran kes sivil dan jenayah ditetapkan secara kehadiran fizikal hendaklah ditangguhkan ekoran pelaksanaan PKP penuh
Sepatutnya dalam prosiding perbicaraan semalam, peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed dijangka meneruskan pemeriksaan saksi pendakwaan ke-10 iaitu Wan Hazeem Abdul Rahman, 49, yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB.
Sebelum ini, perbicaraan itu yang berlangsung di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Collin Lawrence Sequerah ditangguhkan selama dua kali ekoran Najib,68, cuti sakit kerana menjalani pembedahan mataK!ONLINE