BARCELONA – Bintang baharu Barcelona, Sergio Aguero mengakui bahawa dia sudah menyimpan hasrat untuk menyertai pasukan itu sejak kecil menyebabkan dia tidak ada masalah untuk menerima tawaran daripada kelab tersebut.
Pemain antarabangsa Argentina itu dikaitkan dengan perpindahan ke Camp Nou sejak bulan lepas apabila sah meninggalkan Manchester City yang diwakilinya sejak sedekad lalu.
“Saya sangat gembira dan akan memberikan yang terbaik buat kelab ini. Apa yang penting adalah membantu Barcelona untuk memburu kejayaan.
“Pada saya Barcelona adalah sentiasa menjadi kelab terbaik di dunia dan Lionel Messi juga berada di sini.
“Saya pernah memberitahu Presiden Barcelona, Joan Laporte ketika saya berusia 14 tahun bahawa satu hari nanti saya akan menyertai kelab ini. Hari ini, saya sudah berada di sini. Saya tidak pernah membayangkannya tetapi semua pemain bercita-cita untuk bersama Barcelona.
“Ketika Barcelona hadir dengan tawaran, ia tidak membuatkan saya ragu-ragu. Saya arahkan ejen saya hanya membuat rundingan bersama Barcelona dan bukan kelab-kelab lain,” katanya.
Kehadiran pemain berusia 32 tahun itu juga seakan memberikan petanda bahawa Messi akan terus kekal di Camp Nou dengan meraih kontrak baharu selepas spekulasi perpindahannya bertiup kencang sebelum ini.
“Saya harap dapat beraksi bersama Messi. Saya mengenalinya sudah lama dan saya fikir dia akan terus kekal di sini,” jelasnya.
Aguero menandatangani kontrak sehingga 2023 dan memiliki klausa pelepasan bernilai £86 juta (RM504.60 juta). – AGENSI