PETALING JAYA – Sebanyak 13 lokaliti di sekitar Pekan Bayan Lepas; Mukim 12; Barat Daya, Pulau Pinang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa dari 4 Jun hingga 17 Jun.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, berlaku peningkatan di Bayan Lepas iaitu sebanyak 83 kes baharu dikesan dalam masa dua minggu dengan keseluruhan yang direkodkan setakat ini ialah 250 kes.
“Ujian saringan yang dilakukan ke atas kontak rapat juga menunjukkan kadar positiviti 19.6 peratus manakala saringan komuniti pula 10.7 peratus.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 13 lokaliti seperti dinyatakan berkuasa 4 Jun sehingga 17 Jun 2021,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, pelaksanaan PKPD tersebut memudahkan KKM menjalankan pengesanan awal kes serta mengurangkan pergerakan penduduk ke luar dari lokaliti itu.
13 lokaliti yang dikenakan PKPD tersebut ialah Sri Bayu, Bayu Tiara, Bayu Nyaman, Halaman Murni, Bayan Permai, Bayan Tiara, Taman Ara Indah, Kampung Bukit, Kampung Perlis, Kampung Masjid, Jalan Mahkamah, Jalan Kampung Pak Lah dan Lebuh Kampung Bukit. – K! ONLINE