GENEVA, Switzerland – Pandemik Covid-19 menyebabkan lebih 100 juta pekerja lagi terjerumus ke dalam kemiskinan, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas bilangan jam bekerja merosot teruk, manakala akses kepada pekerjaan berkualiti hilang.
Dalam laporannya, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) memberi amaran bahawa krisis pasaran buruh yang berpunca daripada pandemik masih jauh daripada berakhir dengan sektor pekerjaan dijangka paling awal akan pulih pada 2023 atau mengambil masa lebih lama.
Laporan ILO bertajuk World Employment and Social Outlook itu menyatakan bahawa dunia akan hilang 75 juta pekerjaan pada hujung tahun ini berbanding sekiranya pandemik koronavirus tidak berlaku.
Menurutnya, kehilangan 23 juta pekerjaan lain dijangka pada akhir tahun hadapan.
“Covid-19 bukan hanya krisis kesihatan awam tetapi ia juga krisis pengangguran dan kemanusiaan,” kata ketua ILO, Guy Ryder.
Laporan ILO menunjukkan pengangguran global dijangka berjumlah 205 juta orang tahun depan sekali gus jauh lebih tinggi berbanding 187 juta pada 2019.
Bagaimanapun, situasi sebenar adalah lebih buruk daripada angka pengangguran rasmi tersebut.
Ramai orang masih bekerja tetapi masa pekerjaan mereka berkurangan dengan banyak.
Pada tahun lalu, 8.8 peratus masa bekerja di seluruh dunia hilang atau bersamaan kira-kira 255 juta pekerjaan sepenuh masa.
Pengurangan pekerjaan dan masa bekerja mengakibatkan kekurangan pendapatan hasil dan meningkatkan kadar kemiskinan.
Seramai 108 juta pekerja lagi di seluruh dunia dikategorikan sebagai miskin atau miskin tegar tahun ini berbanding 2019. Ini bermakna mereka menjana pendapatan kurang daripada AS$3.20 (RM13) sehari, demikian menurut kajian tersebut. – AFP