fbpx

Warga digital pacu usaha pendigitalan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin berucap melancarkan program eBelia di Facebook hari ini.

PUTRAJAYA – Generasi warga digital atau ‘digital natives’ berperanan penting dalam memacu dan menjayakan usaha pendigitalan di negara ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata, ia berikutan warga digital negara merangkumi 13.4 peratus atau lebih daripada 3.9 juta penduduk Malaysia.

Beliau berkata, Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (ITU) meletakkan Malaysia sebagai negara yang mempunyai warga digital tertinggi di dunia.

Menurutnya, definisi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai warga digital adalah golongan muda yang berusia antara 15 hingga 24 tahun yang menggunakan internet secara aktif sekurang-kurangnya lima tahun.

“Pandemik Covid-19 yang melanda mempercepatkan peralihan digital di seluruh dunia termasuk di negara ini.

“Kini hampir segala urusan dilakukan dalam talian daripada interaksi semuka secara maya, mesyuarat, seminar, pembelajaran di sekolah, kuliah dan tutorial, apatah lagi urusan perbankan termasuk membeli-belah,” katanya semasa melancarkan program eBelia secara maya di Facebook hari ini.

Muhyiddin berkata, program eBelia telah ditambah baik di mana nilai kredit telah ditingkatkan daripada RM100 ke RM150 bagi setiap penerima dengan peruntukan RM300 juta yang akan memanfaatkan 2 juta rakyat Malaysia berumur 18 hingga 20 tahun serta pelajar institusi pendidikan tinggi sepenuh masa.

Beliau berkata, ini akan dipadankan oleh penyedia e-dompet melalui pelbagai inisiatif tambahan seperti baucar, pulangan tunai dan mata ganjaran.

“Saya berharap, para belia akan mengambil peluang ini untuk menyokong para usahawan tempatan yang kebanyakannya adalah golongan beliau juga.

“Sebagai warga digital, saya percaya anda boleh mempelopori kaedah pembayaran tanpa tunai sekali gus mendorong para peniaga lain untuk menggunakan kaedah pembayaran seperti ini,” katanya.

Tambah Perdana Menteri, program eBelia juga dijangka akan mendorong perniagaan, terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) untuk mula menerima kaedah pembayaran tanpa tunai.

Katanya, laporan Bank Negara Malaysia menunjukkan transaksi e-wallet pada tahun lalu meningkat sebanyak 131 peratus kepada 600 juta transaksi.

“Lebih banyak peniaga telah mendaftar untuk menerima pembayaran melalui QR Code, dengan bilangan pendaftaran meningkat lebih dua kali ganda pada akhir tahun lalu.

“Pada tahun lepas, sebanyak 60 peratus daripada jumlah kutipan kerajaan adalah melalui kaedah e-payment,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI