BANTAHAN dunia, khususnya selebriti antarabangsa terhadap isu keganasan Israel semakin berterusan apabila pengkritik program realiti bermulut lancang, Simon Cowell pula membatalkan penampilannya sebagai juri musim akan datang, X Factor Israel.
Memetik laporan majalah Variety, penghujung tahun lalu, Simon atau nama lengkapnya, Simon Phillip Cowell telah menandatangani satu kontrak sebagai salah seorang juri program realiti berkenaan yang dijadualkan memulakan produksi sekitar Jun ini.
Bagaimanapun, Ahad lalu, jurucakap saluran televisyen, Reshet yang menerbitkan X Factor Israel memberitahu Variety bahawa Simon tiba-tiba membatalkan penglibatannya dalam program berkenaan atas kehendak dan alasannya sendiri.
Bagaimanapun, Reshet enggan memberitahu sama ada Simon masih terlibat dalam program realiti itu walaupun tidak duduk di bangku penjurian.
Menguatkan desas-desus pembatalannya minggu lalu, seorang wakil Reshet memberitahu bahawa staf Simon telah menghubungi pihaknya dengan legitimate concerns (dasar keperihatinan) berhubung penyertaannya dalam program tersebut itu setelah keganasan Israel dan Hamas di Gaza baru-baru ini, tetapi pada masa itu dia tidak membuat keputusan muktamad.
Simon mengalami kecederaan belakang badan ekoran kemalangan tahun lalu dan terpaksa berhenti daripada sebarang program televisyen kerana perlu mendapatkan rawatan intensif untuk sembuh.
Buat masa sekarang, dia hanya membuat kemunculan sebagai juri America’s Got Talent yang disiarkan saluran NBC. – K! ONLINE