PETALING JAYA – RichWorks International Sdn. Bhd. (RichWorks International) menawarkan program khas bagi membantu usahawan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh yang bermula hari ini.
Timbalan Naib Presiden Kanan International, Radz Mohd berkata, program khas tersebut dianjurkan secara online dan 100 peratus percuma bagi semua usahawan terutama yang terkesan dengan keadaan pandemik di seluruh negara.
“RichWorks International bersama pengasasnya, Datuk Wira Dr. Azizan Osman kini menjalankan program khas selama 12 hari bermula semalam bagi menyokong dan membantu usahawan.
“Program tersebut dianjurkan secara online dan percuma bagi semua usahawan terutama yang terkesan dengan keadaan pandemik di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, RichWorks terpanggil untuk menganjurkan program itu kerana memahami situasi dan kesusahan yang dilalui sesetengah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ketika ini.
“Sebab itu, Azizan bersedia meluangkan masa sekitar 90 minit setiap malam bermula malam tadi sehingga 12 Jun kecuali Ahad.
“Program RichWorks Business Bootcamp 101 bersama Azizan, Siri Khas “Total Lockdown: MCO 3.0” akan diadakan dalam platform Zoom pada pukul 9 malam selama 12 hari dari 31 Mei hingga 12 Jun,” katanya.
Tambahnya, RichWorks mahu menyokong dan membantu seberapa ramai usahawan yang betul-betul mahu memastikan bisnes bukan saja dapat bertahan malah berkembang walaupun ketika PKP penuh.
“Ini merupakan peluang terbaik bagi usahawan, suri rumah, mereka yang jalankan bisnes sampingan atau sedang rancang nak buat bisnes mendengar sendiri panduan dan tips secara langsung.
“Kami percaya dengan kepakaran dan pengalaman dalam melatih dan membimbing lebih 1.1 juta usahawan sejak 2008 dengan sekitar 777 anak didik RichWorks berjaya mencatat jualan lebih RM2 bilion meskipun ketika pandemik tahun lalu dapat membantu mereka,” jelasnya. – K! ONLINE