SEBERANG PERAI – Masih terdapat segelintir orang ramai memandang remeh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh atau ‘total lockdown’ Fasa Pertama apabila sanggup mengambil risiko merentas negeri dari Sungai Petani, Kedah ke negeri ini.
Akibatnya, kira-kira 100 kenderaan yang cuba memasuki negeri ini melalui Kepala Batas di daerah Seberang Perai Utara (SPU) hari ini setakat pukul 4 petang tadi diarah berpatah balik kerana tidak mempunyai surat kebenaran merentas negeri.
Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, rata-rata mereka memberi sebab yang tidak munasabah termasuklah tanpa segan silu memberi alasan remeh seperti mahu membeli barang keperluan dan makanan di beberapa sekatan jalan raya (SJR).
“Ada yang datang ke daerah ini semata-mata mahu membeli-belah barangan keperluan kerana terdapat beberapa pasar raya besar di sini, sedangkan di Sungai Petani pun ada pasar raya.
“Kita juga menerima alasan remeh mereka datang dari Sungai Petani untuk membeli sarapan kerana nasi kandar di Pulau Pinang lebih sedap,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Sementara itu, beliau turut menasihati orang ramai agar memberi kerjasama dengan berada di rumah masing-masing serta tidak melakukan cubaan merentas negeri dan daerah dalam usaha memutuskan rantaian penularan Covid-19.
“Kita akan bertindak tegas sekiranya masih ada yang berdegil dan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKP penuh ini,” katanya. – K! ONLINE