fbpx

Pengasuh Aafiyah kahwin, Siti hadiahkan baju pengantin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI menghadiahkan busana pengantin hasil sentuhan pereka terkenal Rizman Ruzaini kepada pengasuh Siti Aafiyah, Dayah Zubit (kiri).

PETALING JAYA – Pengasuh anak Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, Dayah Zubit, 25, selamat melangsungkan pernikahan dengan pemain bola sepak Terengganu FC II, Mohammad Ridzuan Razali, semalam.

Namun perkara paling menarik perhatian adalah persalinan pengantin rona putih digayakan kakak kesayangan Siti Aafiyah Khalid itu yang juga hadiah istimewa untuk hari bahagianya.

Dayah berkata, dia kehilangan kata-kata menerima busana indah sentuhan pereka terkenal, Rizman Ruzaini yang dianggap terlalu cantik untuknya.

“Terima kasih Mak Iti (Siti Nurhaliza) dan Datuk (Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa) di atas hadiah ini. Saya sangat menghargainya.

“Masih macam tak percaya sebab cantik sangat. Masa nak pakai tadi pun fikir banyak kali layak ke saya nak pakai,” katanya menerusi perkongsian dalam Instagram.

Terdahulu dalam laman sosial Rizman Ruzaini, mereka memuat naik gambar busana pengantin yang direka khas bersempena majlis perkahwinan wanita itu yang menjaga Aafiyah sejak dilahirkan.

Pada majlis pernikahan yang difahamkan berlangsung di utara tanah air, Dayah tampil bak puteri tatkala menggayakan gaun yang diperincikan taburan batu jemeki rona emas lengkap ‘cape’ labuh.

Tidak hairan menerusi ruangan komen ramai memuji keindahan persalinan berkenaan termasuk penyanyi Cindai itu yang melayangkan ucapan terima kasih kerana menunaikan hajatnya.

Disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (​PKP) 3.0, Aafiyah tidak dapat bersama pengasuh kesayangannya namun mereka berbual menerusi panggilan video sebelum pernikahan berlangsung.

Sementara itu, Dayah yang juga lulusan kolej kejururawatan juga tidak ketinggalan mengucapkan penghargaan kepada kedua-dua pereka terbabit.

“Terima kasih pada abang Rizman Ruzaini buatkan gaun dua dalam satu untuk majlis. Tapi MCO pula, jadi satu lagi ‘look’ kita simpan nanti,” katanya lagi. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI