SUNGAI PETANI – Lima individu termasuk dua wanita masing-masing dikenakan kompaun sebanyak RM4,000 setelah didapati berkumpul sempena majlis kenduri kesyukuran sempena kelahiran bayi di Kampung 11, Sungai Lalang di Bedong dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, tiga lelaki yang berusia 56, 58 dan 61 tahun serta dua wanita berusia 19 dan 49 tahun melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 9 malam.
Katanya, anggota polis yang sedang melakukan pemantauan Ops Covid-19 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar Bedong menerima aduan orang awam mengenai majlis kenduri tersebut.
“Anggota terus pergi ke lokasi berkenaan dan hasil pemeriksaan mendapati semua individu itu iaitu tiga beranak dan dua jemputan sedang berkumpul dalam majlis kenduri kesyukuran sempena menyambut kelahiran cucu itu.
“Semasa pemeriksaan dilakukan, kesemua mereka tidak mematuhi penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, lima individu itu kemudian dikompaun RM4,000 seorang mengikut Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2021. – K! ONLINE