PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) memperuntukkan RM12 juta bagi menghantar bantuan bakul makanan kepada 60,080 ketua isi rumah (KIR) masyarakat Orang Asli di seluruh negara.
Timbalan Menteri I Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, bantuan tersebut merupakan bekalan makanan asas iaitu beras, minyak masak, tepung gandum, garam, gula, serbuk teh, sardin dan kicap.
Katanya, keperluan bekalan asas itu disediakan bagi membantu masyarakat Orang Asli meneruskan kehidupan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh bermula hari ini hingga 14 Jun nanti.
“Bantuan bakul makanan ini akan diagihkan secara berperingkat bermula 5 Jun ini.
“Penyerahan bantuan akan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) iaitu melalui tok batin setiap kampung untuk diagihkan dan turut dipantau oleh Pegawai Jakoa Daerah bagi memastikan bantuan sampai kepada setiap KIR berkenaan,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini hari ini.
Abdul Rahman berkata, berdasarkan rekod pelaksanaan PKP 1.0 pada tahun lalu, masyarakat Orang Asli turut menghadapi kesan kehilangan sumber pendapatan dan terputus bekalan makanan apabila PKP dilaksanakan. -K! ONLINE