BEREGU campuran muda negara, Choong Hon Jian-Toh Ee Wei meneruskan aksi cemerlang selepas memenangi kejohanan badminton Terbuka Austria di Graz malam kelmarin.
Lebih manis, kejuaraan itu adalah gelaran kedua berturut-turut yang diraih oleh Hon Jian-Ee Wei dalam tempoh kurang dua minggu selepas memenangi Kejohanan Antarabangsa Slovenia minggu lalu.
Meskipun turun menentang pilihan utama dari Perancis, William Villeger-Sharone Bauer, namun ia tidak menghalang mereka daripada melakar kemenangan 16-21, 21-9, 21-19.
Kata Ee Wei, dia sangat gembira dan bangga dengan kemenangan itu memandangkan Hon Jian beraksi dalam keadaan menahan sakit sepanjang perlawanan kerana mengalami kecederaan pada perut.
“Kami sangat gembira dapat memenangi kejohanan ini kerana aksi pada perlawanan akhir sangat mencabar selain Hon Jian yang menahan sakit sepanjang permainan berlangsung.
“Saya rasa amat lega kerana kami mampu bangkit pada set ketiga biarpun mereka sudah mendahului 11-6. Kami berikan fokus 100 peratus dan cuba bertahan di dalam gelanggang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Tambah pemain berusia 20 tahun itu, dia langsung tidak menjangka mampu memenangi kejohanan tersebut kerana bertemu pasangan No. 67 dunia, jauh meninggalkan mereka yang menduduki ranking ke-182.
“Kemenangan ini melonjakkan lagi semangat kami bagi menghadapi kejohanan akan datang kerana kami berjaya tewaskan beregu No. 67 dunia yang jauh lebih baik.
“Ketika tewas set pertama, jurulatih minta kami bertenang dan lupakan aksi tersebut serta fokus pada set seterusnya. Selain itu, kerjasama antara saya dan Hon Jian juga membantu kemenangan ini,” ujarnya.
Selain Hon Jian-Ee Wei, beregu lelaki, Wan Arif Wan Junaidi-Muhammad Haikal Nazri turut merangkul gelaran juara selepas menewaskan pilihan kelima dari Perancis, Lucas Corvee-Ronan Labar 21-17, 21-15.