ALOR SETAR – Seorang pesakit kanser otak yang sebelum ini diterbangkan menggunakan helikopter dari Langkawi ke rumah neneknya di Kampung Bukit Hijau, Pokok Sena di sini meninggal dunia kira-kira pukul 3.20 petang tadi.
Noraifa Azira Abdul Aziz, 14, meninggal dunia di sisi ibunya, Roslina Aswira Azmi, 38, dan nenek, Siti Hawa Osman, 63, selepas tidak sedarkan diri sejak Rabu lalu.
Menurut Roslina, anaknya itu dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini selama tiga hari dan dibenarkan keluar dari wad pada semalam.
“Petang tadi ketika berada di sisinya, saya tidak lagi mendengar bunyi nafas Noraifa dengan kaki dan tangannya sudah kebiruan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kosmo! Online pada 2 Mei lalu melaporkan hasrat seorang pesakit kanser otak tahap tiga yang mahu pulang beraya di kampung halamannya di Kampung Bukit Hijau tercapai apabila dia diterbangkan menggunakan helikopter. – K! ONLINE