fbpx

Erti bahagia, Tenang Yura Yunita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YURA YUNITA

SELEPAS popular dengan untaian lagu romantis seperti Cinta Dan Rahasia duet bersama mendiang Glenn Fredly, penyanyi Indonesia, Yura Yunita kini cuba menawan hati peminat muzik Malaysia dengan karya terbaharunya berjudul Tenang.

Bergelar penyanyi sejak tujuh tahun yang lalu, Yura menyifatkan bait lirik lagu Tenang yang ditulisnya ibarat doa dan luahan isi hati yang dipanjatkan kepada Tuhan ketika mencari ketenangan.

“Lagu Tenang ditulis ketika saya tidak dapat tidur dan fikiran melayang pada malam hari.

“Perasaan resah gelisah mengiringi rasa tidak pasti dalam pencarian erti kehidupan.

“Boleh dikatakan lagu ini seperti doa dan luahan isi hati saat berdialog dengan diri sendiri. Kembali mengingati insan yang dirindukan dan saat berdoa kepada Pencipta, ketika itulah kita mendapat ketenangan.

“Saya mengakui lagu ini satu penyembuhan diri saat berada pada waktu sukar dan inginkan menjadi lebih tenang,” kata Yura yang telah menghasilkan dua buah album iaitu Yura (2014) dan Merakit (2018)

Pemilik nama sebenar Yunita Rahman mengakui, sebagai manusia biasa dia juga pernah melalui momen sukar dalam kehidupannya.

Justeru, terhasilnya Tenang yang dicipta sekitar dua tahun lalu.

“Saya cipta lagu ini sebelum 2020. Ketika itu keadaan di sekeliling saya cukup toksik dan berlaku hal-hal yang membuat saya trauma.

KETENANGAN jiwa ialah nikmat paling indah buat Yura Yunita.

“Ada masa segala masalah boleh diluahkan kepada teman dan ada ketikanya hanya mampu dikongsi menerusi lagu .

“Menerusi lagu ini, saya menyedari ketenangan ialah sebuah proses yang perlu dinikmati.

“Agar kita boleh memaafkan diri sendiri, masa lalu, mencintai dan menerima diri sendiri, sekali gus menjadi lebih kuat selepas berserah kepada Tuhan,” kongsi kelahiran Bandung itu.

Untuk segala dan persembahan emosinya, Yura amat berharap lagu Tenang dapat diterima dengan baik dan menjadi ubat ketenangan buat pendengar.

Seiring dengan pelancaran lagu Tenang pada 1 April lalu di YouTube dan semua platform digital, Yura turut menghasilkan sebuah filem pendek yang turut diangkat sebagai video muzik lagu tersebut.

KINI sebanyak lebih 4,000 video berlatarkan audio lagu Tenang dengan tanda pagar #MalamTenang digunakan oleh pengguna TikTok.

Filem pendek

Filem pendek berjudul Tenang dibintangi barisan pelakon popular Indonesia seperti, Ringgo Agus, Nirina Zubir dan Kiki Narenda serta diarahkan oleh sutradara, Yandy Laurens.

Ditayangkan dalam saluran rasmi YouTube Yura Yunita, filem pendek berdurasi tujuh minit 36 saat tersebut mengisahkan seseorang yang mencuba berdamai dengan kenangan dan diri sendiri. Semuanya sama seperti bait lirik yang terdapat dalam lagu Tenang.

“Penggambaran filem pendek ini hanya berlangsung selama tiga hari. Selain sebagai pelakon saya juga merupakan penerbit untuk filem pendek ini. Sungguhpun hanya sebuah filem pendek, saya berpuas hati kerana kami melakukannya seolah-olah Tenang sebuah filem komersial,” kata aktor Ringgo.

Ringgo yang pernah membintangi sebanyak 38 buah filem itu turut berpendapat bahawa karya Tenang telah menerbitkan rasa luar biasa buat dirinya terutama soal kehilangan insan tersayang.

“Ketika menghayati watak dalam filem pendek ini, rasa kehilangan yang saya rasakan belum tentu sama dengan orang lain. Bahkan ketika karya ini siap dan dipersembahkan kepada penonton, reaksi yang diterima juga pelbagai. Perjalanan sebuah kehilangan selalunya mempunyai erti tersendiri bagi setiap orang,” ujar Ringgo.

Sementara Nirina Zubir mendedahkan, dia pada mulanya jatuh hati dengan lagu Tenang sebelum bersetuju untuk terlibat dalam filem pendek tersebut.

“Jujur saya tidak sangka lagu Tenang dengan filem pendek itu begitu serasi. Selepas menonton hasil akhirnya, bagi saya impaknya cukup besar dan dalam. Saya memang tidak pernah ragu dengan hasil kerja Yandy,” tutur Nirina.

Filem pendek tenang yang telah disiarkan di YouTube sejak 16 April lalu kini telah mendapat hampir satu juta tontonan.

YURA baru hampir enam bulan bergelar isteri pada penyanyi Donne Maula.

Bahagia

Bicara lanjut mengenai kehidupan peribadinya, penyanyi berusia 30 tahun itu baru sahaja mendirikan rumah tangga dengan kekasih hatinya, penyanyi Donne Maula pada 11 Disember tahun lalu.

Masih dalam fasa bulan madu, Yura menegaskan keputusan untuk berkahwin sebagai tindakan tepat buat mereka berdua selepas lapan tahun menjalin percintaan.

“Selepas berkahwin rasanya kehidupan menjadi lebih mudah dan lebih tenang.

“Memang bahagia, tetapi ketenangan itu paling utama buat saya,” luah Yura selepas hampir enam bulan bergelar isteri.

Satu perkara yang lebih menarik, Yura kini percaya setiap perkahwinan diiringi dengan rezeki yang telah ditetapkan oleh Allah.

“Sememangnya sebelum ini saya tidak percaya tentang konsep rezeki selepas berkahwin.

“Namun, selepas membuat keputusan untuk bernikah, tiba-tiba rezeki datang.

“Sejak itu, saya percaya tentang apa yang dikatakan orang mengenai rezeki perkahwinan,” kongsi Yura.

Ceritanya lagi, meskipun sudah mengenali dan bercinta untuk tempoh yang lama, namun perkahwinan membuatkan mereka seolah-olah pasangan yang baru mengenali antara satu sama lain.

“Bercinta itu beza, berkahwin itu beza. Selepas berkahwin kita akan lebih mengenali pasangan baik atau buruknya. Jadi, setiap hari itu ada sahaja kejutan buat saya, begitu juga dengan suami.

“Setiap orang ada sikap buruk masing-masing dan hanya pasangan sahaja yang akan memahami serta menerima kita seadanya. Saya begitu senang dan diharapkan kebahagiaan kami akan berpanjangan,” tutup Yura.

MENERUSI lagu Tenang, Yura meluahkan satu bentuk monolog jiwa kepada diri sendiri dan Tuhan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI