PETALING JAYA – Sebanyak enam lagi lokaliti di Sabah dan Sarawak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 3 hingga 16 Jun depan susulan terdapatnya peningkatan kes Covid-19 yang direkodkan di situ.
Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD di dua negeri itu melibatkan masing-masing dua lokaliti di Mukah, Sarawak, tiga lokaliti di Kota Belud, dan satu lokaliti di Tuaran, Sabah.
“Dua lokaliti di Mukah yang dikenakan PKPD adalah di Kampung Bunut dan Rumah Panjang Undum Anak Anchih, Sungai Duan.
“Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di dua lokaliti tersebut selepas pihak Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan sebanyak 29 kes positif direkodkan di Kampung Bunut dan 12 kes positif di Rumah Panjang Undum Anak Anchih, Sungai Duan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Ismail Sabri, PKPD di empat lokaliti di Sabah pula melibatkan Taman Nikmat, Kampung Pirasan dan Kampung Dundau di Kota Belud serta Kampung Simpangan di Tuaran, Sabah selepas KKM mengesahkan terdapat peningkatan kes yang ketara di ketiga-tiga lokaliti tersebut.
“Sebanyak lapan kes positif telah direkodkan di Taman Nikmat, tujuh kes di Kampung Pirasan dan lapan kes di Kampung Dundau manakala di Kampung Simpangan pula sebanyak lapan kes positif telah direkodkan hasil daripada 10 ujian saringan yang dilakukan.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di kesemua lokaliti yang dinyatakan bermula 3 hingga 16 Jun depan,” ujar beliau.
Tambah Ismail Sabri, kerajaan turut membuat keputusan untuk melanjutkan pelaksanaan PKPD di Rumah Panjang Wun anak Ering di Tanjung Manis, Mukah, Sarawak selepas mendapati masih berlaku penularan serta kes baharu di situ.
“Setelah membuat penilaian risiko, kerajaan hari ini bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Rumah Panjang Wun anak Ering juga dari 3 Jun sehingga 16 Jun depan.
“Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi kesemua PKPD adalah sama seperti yang telah diumumkan sebelum ini dan maklumat lanjut boleh diakses menerusi laman web Majlis Keselamatan Negara di www.mkn.gov.my,” jelas beliau.- K! ONLINE