KLANG – Hanya kerana berbalah mengenai syif kerja, seorang lelaki operator kilang cedera di tangan kanan selepas dilibas menggunakan parang oleh rakan sekerjanya dalam kejadian di Taman Perindustrian Pulau Indah, Pelabuhan Klang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, mangsa berusia 34 tahun telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, suspek yang baharu bekerja sebulan itu telah berselisih faham dan tidak berpuas hati dengan mangsa yang sering menukar waktu kerjanya.
Katanya, berdasarkan siasatan juga mendapati mangsa telah bekerja selama setahun di kilang racun serangga berkenaan.
“Perselisihan faham mereka kemudiannya berlarutan dengan mangsa mengajak suspek berusia 25 tahun itu untuk bergaduh.
“Secara tiba-tiba, suspek telah mengeluarkan sebilah parang dari pinggang lalu melibas yang mengenai tangan kanan mangsa ketika menahan libasan senjata berkenaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Kata beliau, bertindak atas maklumat pihaknya kemudiannya menahan suspek di rumahnya di Pulau Indah kira-kira pukul 12 tengah malam tadi selain merampas sebilah parang digunakannya semasa kejadian tersebut.
Ujar Shamsul Amar, semakan mendapati suspek yang mempunyai satu rekod jenayah lampau mengaku melakukan perbuatan tersebut.
“Proses permohonan reman akan dilakukan terhadap suspek esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” jelasnya. -K! ONLINE