SIK – Sepasang suami isteri warga emas melalui detik cemas apabila rumah mereka di Jalan Jambu, Felda Teloi Timur di Kuala Ketil di sini dipecah masuk dua penyamun bersenjatakan parang, awal pagi semalam.
Kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu berlaku ketika pasangan suami isteri berusia lingkungan 60-an itu
sedang tidur.
Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, mangsa wanita terjaga daripada tidur kerana terdapat pantulan cahaya sebelum ternampak kelibat dua lelaki memakai topeng.
“Salah seorang suspek kemudian bergelut dengan suaminya dan meminta wang serta barangan kemas dipakai mangsa sambil memegang sebilah parang.
“Kedua-dua mangsa yang ketakutan memberikan semua barang kemas bernilai kira-kira RM10,500 dan wang tunai berjumlah RM2,000 yang disimpan di dalam poket seluar,” katanya di sini hari ini. – K! ONLINE