fbpx

Bantuan khas lockdown

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENIAGA pasar malam antara golongan terjejas selepas dilarang berniaga sepanjang total lockdown. -GAMBAR HIASAN

PUTRAJAYA – Program bantuan PEMERKASA Tambahan (PEMERKASA Plus) berjumlah RM40 bilion diumumkan kerajaan sebagai inisiatif terbaharu bagi meringankan beban rak­yat berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh mulai hari ini.

Bantuan itu termasuk pemberian moratorium kepada golongan B40 dan rakyat terjejas ekoran kehilangan pekerjaan serta perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bantuan terbaharu itu melibatkan suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM5 bilion.

Beliau berkata, sebanyak 12 inisiatif dilaksanakan de­ngan tiga matlamat utama iaitu mempertingkatkan kapasiti kesihatan awam, meneruskan Agenda Prihatin Rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.

Di bawah matlamat Pertama, kerajaan bersetuju menambah peruntukan RM1 bilion bagi meningkatkan kapasiti dan memperkukuhkan kesihatan awam.

“Langkah-langkah yang akan diberi perhatian ialah memperuntukkan RM450 juta bagi me­ningkatkan kapasiti katil dan peralatan ICU bagi rawatan Covid-19 bukan sahaja di hospital seliaan Kementerian Kesihatan tetapi juga di hospital pengajar universiti awam,” katanya dalam perutusan khas Bantuan PKP 3.0 semalam.

Ringkasan bantuan khas lockdown yang diumumkan Perdana Menteri malam tadi.

Muhyiddin berkata, kerajaan juga memperuntukkan RM550 juta untuk menampung pertambahan kos operasi dan pengurusan dalam menangani krisis Covid-19 termasuk ubat, reagen untuk saringan dan lantikan pegawai secara kontrak.

“Ketiga, melanjutkan tempoh perkhidmatan lebih 14,000 pegawai perubatan dan jururawat lantikan kontrak sedia ada sehingga tahun depan. Sebagai tambahan kerajaan akan melantik semula lebih 500 petugas kesihatan yang bersara wajib tahun ini secara kontrak,” katanya.

Lebih 14,000 pegawai perubatan dan jururawat lantikan kontrak sedia ada sehingga tahun 2022. – Gambar hiasan

Di bawah matlamat kedua, kerajaan bersetuju memperuntukkan RM2.1 bilion bagi menambah Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) meliputi kategori isi rumah berpendapatan di bawah RM2,500 dengan tambahan sebanyak RM500, isi rumah berpendapatan antara­ RM2,501 hingga RM5,000 (RM300) manakala golongan bujang (RM100).

“BPR tambahan ini akan mula dimasukkan ke dalam akaun pe­nerima pada hujung Jun. Bayaran ini merupakan tambahan kepada fasa bayaran ter­akhir BPR September kelak sebanyak RM2.4 bilion,” katanya.

Hasil perbincangan bersama Bank Negara Malaysia (BNM), industri perbankan memberi jaminan dan komitmen penuh untuk terus memberikan bantuan pembayaran balik pinjaman dan moratorium.

Gambar hiasan

Golongan B40 dan rakyat terjejas ekoran kehilangan pekerjaan serta perusahaan mikro dan perusahaan PKS yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP diberi pilihan untuk mendapatkan kelulusan moratorium secara auto­matik selama tiga bulan.

Ujarnya, mereka juga boleh memilih untuk mendapatkan pengurangan bayaran balik secara ansuran sebanyak 50 peratus selama tempoh enam bulan.

“Inisiatif ini akan dilaksanakan segera pada bulan Jun yang dijangka memanfaatkan lebih lima juta peminjam dengan nilai sehingga RM30 bilion,” katanya.

Muhyiddin menjelaskan, kerajaan juga akan melancarkan Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi minggu ini dengan nilai peruntukan RM1 bilion yang mana pengusaha bas dan teksi layak mendapatkan moratorium pinjaman sehingga 12 bulan dan me­lanjutkan tempoh pinjaman sehingga 36 bulan.

Beliau juga menyarankan agensi dan syarikat kerajaan menawarkan penangguhan bayaran balik pinjaman serta diskaun sewa premis perniagaan dan pada masa sama Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan meneruskan program MARA PRIHATIN Peace of Mind yang dibuka sehingga 31 Julai depan.

PENIAGA pasar malam antara golongan terjejas akibat lockdown. – Gambar hiasan

“Majikan yang berdaftar de­ngan Pembangunan Sumber Manusia Berhad akan diberikan pengecualian pembayaran levi selama satu bulan pada bulan Jun ini,” katanya.

Di bawah matlamat ketiga, kerajaan meneruskan pemberian Geran Khas Prihatin (GKP) dan kadarnya ditambah sebanyak RM500 kepada RM1,500 yang memanfaatkan hampir satu juta PKS, manakala perusahaan mikro­ akan menerima RM1,000 pada pertengahan Jun dengan RM500 lagi disalurkan pada Julai.

“Peniaga kecil, penjaja jalanan dan perusahaan mikro boleh mendapatkan pembiayaan mikro kredit dengan kadar pembiayaan serendah tiga peratus yang disediakan oleh Bank Simpanan Nasional, TEKUN, Mara, SME Corp. dan YAPEIM dengan peruntukan RM1.5 bilion,” jelasnya.

Gambar Hiasan

Selain itu, kata Perdana Menteri, kerajaan bersetuju memberi bantuan khas secara one-off sebanyak RM500 kepada 17,000 pemandu pelancong, 40,000 pemandu teksi, 11,000 pemandu bas sekolah, 4,000 bas persiaran dan 62,000 pemandu kereta sewa dan e-hailing berjumlah RM68 juta disalurkan kepada penerima berdaftar pada Julai.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga akan melanjutkan pemberian diskaun bil elektrik kepada sektor yang terjejas melibatkan pengendali hotel, agensi pengembaraan dan pelancongan, premis dan kompleks beli-belah, pusat-pusat konvensyen, taman tema dan pejabat syarikat penerbangan tempatan.

Muhyiddin berkata, kerajaan juga bersetuju melanjutkan pengecualian duti setem kepada 31 Disember ini bagi Kempen Pemilikan Rumah (HOC).

“Selain itu, pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang pemasangan tempatan mahupun import sepenuhnya yang sebelum ini diumumkan di bawah inisiatif PENJANA akan dilanjutkan mulai 1 Julai hingga 31 Disember depan,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI