fbpx

Terima kasih bencikan watak saya – Iman Suhana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IMAN SUHANA

MEMBARA-BARA hati melihat lakonan Iman Suhana! Respons sedemikian antara yang menjadi ‘lauk’ seharian bahkan berminggu-minggu untuk ditelan pelakon genit bernama Iman Suhana, usai drama rantaian Sabarlah Duhai Hati mula membakar jiwa penonton.

Mula memahat nama sebagai anak seni menerusi drama bersiri Monalisa sekitar tahun 2018, Iman berjaya menuai perhatian masyarakat selepas muncul cemerlang dalam karya fenomena Takdir Yang Tertulis baru-baru ini.

Kini, sekali lagi dia dihujani kebencian penonton menerusi watak Nadia dalam drama Sabarlah Duhai Hati lakonannya bersama Amyra Rosli dan Saharul Ridzwan.

BIARPUN karakter antagonis menjadi rezekinya, pemegang Ijazah Sarjana Muda jurusan Teater (Pengarahan), Universiti Teknologi Mara (UiTM) enggan selesa di takuk sama.

Rezeki antagonis

Bukan mudah untuk menjayakan karakter antagonis, namun pemilik nama penuh Norsuhana Mohamad Wahid berasa lega kerana berjaya meninggalkan memori hitam buar penonton.

“Pada awal karier, saya tidak bermula dengan watak antagonis pun kerana dalam drama Monalisa saya jadi budak lembam. Ketika itu, orang tidaklah perasan saya sangat.

“Tetapi perjalanan karier saya berubah sejak memegang karakter Ruzita atau Ita Tin Tong dalam drama Takdir Yang Tertulis. Sekarang semakin dibenci pula sebab watak Nadia,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Pelakon berumur 31 tahun itu juga tidak menyangka watak antagonis yang dijayakan berjaya memberi impak kepada drama lakonannya.

“Tidak sangka Tuhan beri rezeki dengan watak sebegini. Tak pernah terlintas dalam benak fikiran bahawa saya meraih populariti dengan karakter yang dibenci ramai.

“Siapa sangka watak Ita Ting Tong masih lagi diingati ramai sehingga kini dan sekarang mood jahat tersebut melarat kepada karakter Nadia,” kata anak kelahiran Taiping, Perak itu.

Mengakui terkejut melihat reaksi penonton, ibu kepada seorang cahaya mata itu bagaimanapun sudah bersedia daripada aspek mental sekiranya diasak bertubi-tubi dengan kecaman netizen.

PELAKON genit itu menyifatkan kehadiran pelakon senior handalan seperti Fadilah Mansor dalam Sabarlah Duhai Hati dan Didie Alias dalam Takdir Yang Tertulis sangat memberi impak bagi membangkitkan emosi kejam dari dalam dirinya.

Dimaki penonton

Masakan tidak, baru sahaja memulakan langkah, dia sudah terpaksa menelan kata-kata kesat dan maki hamun netizen hanya kerana watak lakonan.

“Jujurnya saya tak pernah ambil serius pun kata-kata negatif. Diugut bunuh, disepak dan kata-kata kesat jadi mesej normal yang diterima setiap hari. Semua berlaku kerana penonton terlampau beremosi.

“Tetapi saya tetap gembira kerana berjaya sampaikan emosi kejam kepada penonton. Terima kasih untuk semua kecaman yang saya anggap sebagai pujian kepada diri sendiri,” tuturnya lagi.

Memegang watak antagonis bukanlah perkara mudah, namun Iman bersyukur kerana berpeluang bergandingan dua pelakon hebat tanah air untuk membangkitkan ‘kekejaman’ dalam diri.

“Syukur dalam Takdir Yang Tertulis, Didie Alias banyak mengajar saya sehingga kami digelar anak-beranak Firaun.

“Dalam Sabarlah Duhai Hati arahan Mohd. Fazli Yahyan pula saya digandingkan sebagai cucu kesayangan Datin Fadilah Mansor, memang tak sangka kami ada keserasian, sekali gus berjaya realisasikan mood jahat.

“Pelakon gandingan sangat membantu untuk hidupkan karakter antagonis,” katanya lagi.

Biarpun karakter antagonis menjadi rezekinya, pemegang Ijazah Sarjana Muda jurusan Teater (Pengarahan), Universiti Teknologi Mara (UiTM) enggan berada di takuk sama.

Mahu menjadi pelakon yang versatil, itu impian yang dipegangnya sejak berkecimpung dalam dunia lakonan.

“Saya miliki impian sama seperti pelakon lain, mahu jadi versatil. Selalu sangat jadi jahat dalam drama pun bosan juga.

“Saya teringin watak psiko atau perempuan lemah-lembut. Mencabar tetapi itu yang saya suka. Cabaran boleh serlahkan potensi dalam diri,” katanya yang bakal muncul dalam drama Love, Elsa arahan Michael Ang tidak lama lagi.

IMAN mendedahkan bukan mudah untuk menghidupkan watak antagonis namun bersyukur ramai pelakon senior memberi tunjuk ajar kepadanya. – Foto ihsan Nina Suliana

Menolak dakwaan semakin selektif, Iman menganggap perkara tersebut perlu dilakukannya untuk membawa dirinya ke satu peringkat lebih tinggi.

“Bukan hendak memilih tetapi itu kebaikan karier. Saya tak mahu ‘sauk’ semua tawaran. Setiap pelakon mahukan yang terbaik, sama juga dengan saya,” ujar ibu kepada Maya Inara, 3, itu optimis.Kasihankan anak

Melencongkan emosi teruja tentang dunia lakonan terhadap kisah keluarga, Iman mengakui terbit rasa kasihan terhadap anaknya yang membesar pada musim pandemik Covid-19

“Kasihan tengok anak, duduk saja di rumah. Tak keluar rumah melainkan ke kediaman neneknya yang menetap berhampiran dengan kami.

“Namun itu pengorbanan yang terpaksa bayar untuk memastikan lekuk kes positif virus menurun,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun, dia sempat membawa anaknya berjalan sekitar Kuala Lumpur ketika pihak kerajaan melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) beberapa bulan lalu.

Ujarnya, mempunyai banyak masa terluang bersama anaknya di rumah juga merupakan satu rezeki.

“Sebagai anak seni yang ada penggambaran tidak tentu masa, waktu-waktu begini berharga kerana dapat melihat dia membesar.

“Diakui kewujudan Covid-19 memberi impak negatif kepada banyak perkara, namun ada juga sisi positif yang Tuhan hadirkan kepada kita,” katanya seraya mengakiri perbualan.

WANITA bergelar ibu kepada seorang cahaya mata perempuan itu tidak memandang serius semua cemuhan dan hinaan yang diterimanya dalam media sosial kerana menganggap perkara tersebut hanya mainan emosi penonton.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI