fbpx

Suri rumah rugi lebih RM60,000 jual beli emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

Oleh MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI

MELAKA – Seorang suri rumah rugi lebih RM60,000 setelah ditipu wanita warga Indonesia dalam urusan jual beli barang kemas melalui aplikasi Whatsapp.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan E. Sundra Rajan berkata, mangsa berumur 36 tahun dikatakan berminat untuk menjadi ejen menjual barang kemas dan telah berurusan dengan suspek melalui aplikasi Whatsapp, pada Februari lalu.

Jelas beliau, suri rumah itu kemudiannya dimaklumkan perlu membayar yuran keahlian sebanyak RM50 dan sejumlah amaun bagi mendapatkan barang kemas yang ditempah.

“Mangsa bersetuju dengan syarat berkenaan dan pada 21 Februari sehingga 6 April lalu, dia telah membuat bayaran sebanyak RM61,912.50 ke dalam akaun bank yang diberikan suspek.

“Mangsa juga dijanjikan barang kemas yang ditempah akan diterima dalam tempoh 10 hingga 15 hari, ” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tambah Sundra, barang kemas yang ditempah terdiri daripada cincin, gelang kaki, subang, loket, pandora, rantai leher, gelang tangan dan rantai keselamatan.

Katanya, bagaimanapun sehingga kini mangsa mendakwa dia masih belum menerima barang kemas yang ditempah seperti dijanjikan suspek.

“Mangsa merasakan dia telah diperdaya dan membuat laporan di Balai Polis Merlimau. Kes disiasat di bawah seksyen 420 kanun keseksaan kerana kesalahan menipu,” ujarnya.

Sundra berkata, JSJK Melaka menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dengan tawaran penjualan barangan kemas secara online.

“Orang ramai boleh membuat semakan nombor telefon dan nombor akaun yang diragui dalam laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau muat turun aplikasi check scammers ccid supaya dapat mengelakkan diri dari menjadi mangsa penipuan,” katanya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI