fbpx

Segera baiki kesilapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hadkan pengerakan kecuali perlu bagi mengawal penularan Covid-19. Foto oleh PUTQRA HAIRRY ROSLI
MOHD. AZLI ADLAN,
WARTAWAN EKSEKUTIF

ESOK seramai 32.75 juta rakyat Malaysia bakal kembali mengharungi Perintah Kawalan Per­ge­rakan (PKP) penuh yang me­­nyaksikan penutupan sektor sosial dan ekonomi.

Keputusan kerajaan Persekutuan yang selama ini dilihat amat berhati-hati mengimbangi antara kesihatan dan ekonomi bagi menangani Covid-19 ini sudah di­jangka.

Tiada pilihan terbaik selain PKP penuh memandangkan kes positif harian Covid-19 kini sudah melonjak sehingga ke angka 9,020 dengan 98 kematian kelmarin.

Di Terengganu pula, negeri yang sebelum ini terkawal dan mencatatkan kenaikan kes Co­vid-19 secara mendatar terutama sewaktu PKP 1.0 turut melonjak naik kes positif hariannya terutama selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri pertengahan bulan lalu.

Tiga mukim termasuk Kuala Terengganu kini dikenakan PKP Diperketat (PKPD) melibatkan hampir separuh daripada populasi penduduk yang terdapat di Terengganu.

Sebelas bulan lalu kita sudah pasti tidak pernah menjangka senario akan seburuk ini kerana secara ironinya pada 1 Julai 2020, hanya satu positif harian dilaporkan pada ketika itu.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr. Nor Azimi Yunus ber­kata, sama sedar atau tidak, ke­naikan secara mendadak kes Covid-19 ini turut disumbang oleh sikap segelintir individu yang masih meremehkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) .

Beliau berkata, bukan sedikit kluster Covid-19 di Terengganu disebabkan perbuatan segelintir yang curi-curi merentas daerah dan negeri untuk pulang ke kampung bagi menyambut lebaran.

“Ramai juga yang tidak me­la­kukan penilaian risiko dan masih pulang ke kampung walaupun bergejala.

“Tidak kurang yang menyalahguna kebenaran merentas negeri dengan beraya beramai-ramai bersama sanak saudara,” katanya baru-baru ini.

Nor Azimi berkata, ia tidak termasuk mereka yang secara se­nyap-senyap menganjurkan ­majlis sosial seperti moreh dan berbuka puasa beramai-ramai tanpa menjaga penjarakan fizikal.

Ujar beliau, tahu-tahu sahaja perbuatan mereka itu terbongkar selepas satu demi satu indi­vidu yang menyertai majlis sosial tersebut disahkan positif Co­vid-19.

“Setakat ini, kluster disebabkan pulang beraya dan majlis so­sial pada bulan Ramadan dan awal Syawal lalu telah menyebabkan ratusan orang positif selain ribuan pula dikenal pasti sebagai kontak rapat di Terengganu,” katanya.

Kelekaan segelintir daripada kita daripada mematuhi SOP norma baharu amat mengecewakan dan bertentangan dengan sikap kita sewaktu berhadapan dengan PKP 1.0 dahulu.

Penyatuan rakyat Malaysia melawan pandemik Covid-19 pa­da masa itu membuatkan kita hampir ‘menang’ malah dikagumi masyarakat antarabangsa.

Di manakah silapnya?

Pakar Perun­ding Psikiatri Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Dr. Firdaus Abdul Ghani tidak menolak kemungkinan tekanan dan keletihan mental menyebabkan segelintir rakyat negara ini seakan tidak peduli lagi dengan peningkatan kes Covid-19.

Begitupun, beliau berharap pe­ningkatan tertinggi kes Co­vid-19 dan pelaksanaan PKP pe­nuh sehingga sekurang-kurang­nya 14 Jun depan dapat menyentak masyarakat untuk kembali mematuhi SOP ditetapkan dengan sepenuhnya.

Apa pun, ini bukanlah masa untuk menuding jari menyalahkan satu sama lain sebaliknya kita mesti kembali fokus dan bersatu hati memerangi Covid-19.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, tanggungjawab untuk memutuskan rantaian pandemik Covid-19 bukan terletak pada bahu barisan hadapan semata-mata tetapi setiap individu di negara ini.

“Covid-19 bukan cerita do­ngeng, kematian (disebabkan Covid-19) dilaporkan setiap hari. Saya harap sangat masyarakat patuh SOP ditetapkan, kita jaga kita,” katanya.

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI