LOS ANGELES, CALIFORNIA – Beberapa foto yang memaparkan kanak-kanak membelai beberapa ekor ikan lumba-lumba di sebuah kolam renang di Amerika Syarikat (AS) menjadi tular di media sosial, lapor akhbar The Sun kelmarin.
Dari kejauhan, ikan lumba-lumba tersebut nampak normal namun sebenarnya adalah robot yang dicipta bagi menggantikan haiwan di taman tema air.
Ikan animatronik yang kelihatan seperti haiwan biasa itu boleh berkelakuan seperti ikan sebenar dan mampu berenang dalam air tanpa bantuan.
Ikan lumba-lumba elektrik itu setiap satu berharga AS$20.8 juta (RM86 juta) dan mempunyai berat sekitar 250 kilogram.
Panjangnya pula ialah 2.5 meter dengan kulitnya diperbuat daripada silokon gred perubatan.
Ia diharap dapat menggantikan haiwan liar untuk menghiburkan pengunjung di taman-taman tema di AS.
Pertubuhan Hak Asasi Haiwan (PETA) yang bercakap dalam salah satu ujian padang model Delle itu berkata, teknologi baharu itu akan membolehkan manusia mengenali mamalia pintar itu tanpa menyebabkan haiwan itu dikurung dalam tangki konkrit.
“Ini merupakan pengakhiran bagi aktiviti penangkapan ikan lumba-lumba di laut yang adakalanya dilakukan secara haram,” kata aktivis PETA, Katherine Sullivan.
Ikan lumba-lumba itu direka oleh sebuah syarikat teknologi, Edge Productions.
Ketua Pegawai Operasi Edge Productions, Walti Conti percaya animatronik boleh menarik pengunjung untuk datang ke taman tema walaupun tidak menggunakan haiwan liar sebenar.
“Kami mahu memberikan cara alternatif kepada pengunjung untuk bermesra dengan ikan lumba-lumba tanpa menyeksa hidupan ini,” katanya. -Agensi