fbpx

RM700 juta naik taraf sistem telekomunikasi di Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Fadzli (kiri) menyampaikan komputer riba kepada wakil sekolah YIK secara pandu lalu di Kompleks Pentadbiran YIK, Kota Bharu hari ini.

KOTA BHARU – Kerajaan Pusat memperuntukkan dana sebanyak RM700 juta untuk membangunkan infrastruktur telekomunikasi di Kelantan termasuk pembinaan lebih banyak menara pencawang bagi menaik taraf perkhidmatan internet di seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Negeri, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, inisiatif di bawah Program Jalinan Digital Negara (Jendela) itu dikendalikan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

“Pembinaan menara dilakukan di lokasi yang mempunyai masalah capaian internet khususnya di kawasan pedalaman bagi melengkapkan jaringan komunikasi termasuk memudahkan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Bagaimanapun, usaha ini dijangka mengambil sedikit masa,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan komputer riba, skrin projektor, mikrofon dan peranti paparan untuk sesi PdPR di Kompleks Pentadbiran, Yayasan Islam Kelantan (YIK) di sini hari ini.

Penyampaian kelengkapan itu diserahkan kepada 47 buah sekolah termasuk dua tadika di bawah YIK secara pandu lalu.

Hadir sama, Pengarah YIK, Engku Rajhan Engku Ismail.

Selain itu, YIK turut mengedarkan buku garis panduan prosedur operasi standard (SOP) kepada sekolah-sekolah dengan kerjasama Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sinar (Papisma) cawangan Kelantan.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Fadzli memberitahu, kerajaan negeri memperuntukkan RM500,000 bagi mengagihkan kelengkapan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kepada kesemua 93 sekolah YIK di seluruh negeri ini.

“Penyerahan sumbangan kelengkapan ini akan diadakan secara berperingkat dan ia diharap dapat dimanfaatkan sebaik mungkin untuk membantu melancarkan sesi PdPR membabitkan pelajar dan guru,” katanya.

Tambahnya, setiap Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Kelantan kini dilengkapi capaian internet sehingga 800 megabit sesaat (Mbps) bagi membolehkan penduduk di setiap kawasan mengikuti PdPR dengan lebih baik. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI